PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2008

GHANI BELUM SEMPAT FIKIR KEDUDUKAN SENDIRI

MUAR 25 Jan. - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, beliau tidak sempat memikirkan mengenai kedudukannya pada pilihan raya umum akan datang sama ada kekal di Johor atau beralih ke Pusat.

Katanya, pada masa ini beliau terlalu sibuk dengan persediaan Barisan Nasional (BN) negeri menghadapi pilihan raya ke-12.

Abdul Ghani yang menjadi Menteri Besar sejak 1995 berkata, ini kerana beliau terpaksa menjelajah ke seluruh negeri dalam tempoh terdekat bagi meninjau persiapan jentera parti.

"Saya bukannya membisu atau melarikan diri daripada media. Semua tempat yang saya lawat, saya berjumpa dengan media, cuma disebabkan kesuntukan masa, saya tidak sempat mengadakan sidang akhbar.

"Bayangkan, saya mempunyai 82 buah kerusi (26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri) yang perlu dilawati dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Abdul Ghani bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Taklimat dan Persediaan Pilihan Raya anjuran UMNO Bahagian Ledang di Dewan Serbaguna Kampung Sri Jaya, Tangkak, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini ketika ditemui di Johor Bahru, beliau hanya menggelengkan kepala apabila diajukan beberapa soalan berkaitan calon, kedudukannya serta persiapan BN.

Menurutnya, tumpuan BN Johor ketika ini ialah memastikan semua jentera parti bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Sepanjang lawatannya ke setiap kerusi DUN dan Parlimen itu, kata Abdul Ghani, beliau juga dapat menyelesaikan masalah rakyat.

"Kerajaan negeri di bawah BN selama ini telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membasmi kemiskinan dan membina rumah-rumah kos rendah rakyat tetapi mungkin masih ada janji-janji wakil rakyat yang belum dilaksanakan.

"Atas sebab itu, lawatan saya ini dapat memastikan semua janji itu ditunaikan dan saya percaya BN akan terus mempertahankan kemenangan mutlak di negeri ini," tegasnya.

Ditanya mengenai senarai calon BN di negeri ini, Abdul Ghani berkata, beliau belum dapat memberikan gambaran mengenai perkara tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JANUARI 2008

Tiada ulasan: