RAMLI ABD. RAHMAN menunjukkan gambar asal Masjid Kampung Bekoh berusia 117
tahun yang dirobohkan bagi digantikan dengan masjid baharu di Kampung
Bekoh dekat Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 16 Mac – Sebilangan besar daripada 1,130 umat Islam di Kampung Bekoh,
dekat sini kecewa dan terkilan kerana masjid bersejarah dan tertua di
kampung itu dirobohkan bulan lalu tanpa persetujuan mereka.
Penduduk mendakwa bangunan masjid
berusia 117 tahun itu mempunyai nilai sejarah yang besar, antaranya satu
masa dahulu pernah menjadi tempat pertemuan dan perbincangan Wali
Songo, pendakwah terkenal Nusantara.
Seorang penduduk, Ramli Abd. Rahman,
63, berkata, masjid itu juga unik kerana seni bina mirip Masjid Agong
Danak serta Masjid Sunan Kalijaga di Indonesia dan sememangnya wajar
dipulihara sebagai warisan sejarah.
“Satu
sebab masjid ini dirobohkan kerana disahkan tidak selamat digunakan.
Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat melibatkan ahli jawatankuasa masjid
dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tetapi tanpa
melibatkan penduduk.
“Walaupun sudah tidak
digunakan untuk bersolat, masjid ini masih dibuka untuk aktiviti
seperti kelas mengaji al-Quran untuk golongan dewasa dan kanak-kanak
pada setiap petang,” katanya ditemui di sini.
Sementara itu, Shahril Sapingi,
40, sedih apabila papan dan tiang masjid yang dirobohkan itu diambil
dan digunakan untuk membina sebuah madrasah persendirian yang terletak
berhampiran kampung tersebut.
“Selepas kira-kira seminggu masjid dirobohkan, struktur utama bangunan masjid seperti papan dan tiang diambil.
“Kami tidak terlalu marah jika bahan binaan itu masih berada di masjid ini, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.
Zazali Osman,
58, pula berkata, bapanya, Osman Maarof, 84, generasi lama kampung itu
menitiskan air mata melihat masjid tersebut dirobohkan kerana rumah
ibadat itu memberi makna besar kepada mereka.
Sementara itu, Ketua Kampung berkenaan, Arshad Haron
ketika dihubungi berkata, masjid tersebut dirobohkan mengikut prosedur
yang betul dan perkara itu telah dimaklumkan kepada penduduk sejak dua
tahun lalu.
Pejabat agama daerah juga
membenarkan tindakan itu kerana masjid lama itu sudah tidak selamat
digunakan dan akan diganti dengan Dewan Serbaguna Transformasi Balai
Islam.
“Majlis Fatwa negeri juga membenarkan
tapak berkenaan dibina dewan tersebut. Ini semua untuk kemudahan
penduduk setempat yang sebelum ini mahukan sebuah dewan serbaguna dibina
di kampung ini,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2015