PENGUNJUNG SETIA

28 April 2015

JURURAWAT HAMIL 4 BULAN MAUT

ZULHISHAM ISAHAK  
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan Nor Farhana Ali yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 27 April - Seorang jururawat yang hamil empat bulan maut manakala anaknya berusia tiga tahun patah tangan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang bertugas di Hospital Segamat memandu kereta Perodua Myvi dari arah Muar menghala ke Segamat sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, kereta dipandu mangsa kemudian merempuh sebuah kereta Toyota di depannya yang pada mulanya cuba mengelak tetapi tidak berjaya.
 
“Kereta Toyota itu yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an cuba mengelak ke bahu jalan tetapi tetap dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam parit.
 
“Pada masa sama, sebuah motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kereta Toyota itu. Namun penunggang motosikal tersebut hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.
 
Menurutnya, mangsa yang ce­dera parah bersama anak lelakinya yang patah tangan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, namun Nor Farhana disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
 
Mohamed Salleh berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Toyota tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Tangkak, Seniman Idris berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 6.54 pagi.
 
“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati seorang wanita mengandung tersepit di bahagian kaki bersama seorang anak lelakinya yang sedang menangis ketakutan dalam kereta Perodua Myvi.
 
“Kita ambil masa lapan minit mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa tetapi lemah dengan menggunakan peralatan khas. Orang ramai turut membantu selain memujuk anak mangsa yang menangis,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2015