PENGUNJUNG SETIA

20 Mac 2016

PERSEMBAHAN KUMPULAN KEMPLING KONTEMPORARI DAERAH TANGKAK 2016


KUMPULAN KEMPLING KONTEMPORARI DAERAH TANGKAK 2016
 
Gabungan ahli Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang dan Persatuan Warisan Seni Ledang (PEWANIL) yang menggabungkan seni muzik tradisional dan muzik kontemporari. Ia adalah inisiatif Penyelaras Kebudayaan dan Kesenian Daerah Tangkak dan Pejabat Daerah Tangkak serta Majlis Daerah Tangkak untuk mempromosi kesenian kempling dalam Pelancongan Daerah Tangkak.

02 Mac 2016

PENDUDUK KESAL RISALAH TILIK NASIB, JUDI DIEDAR KE RUMAH

Penduduk kesal risalah tilik nasib, judi diedar ke rumah
Risalah tilik nasib dan judi diselitkan di pintu pagar rumah penduduk di beberapa kampung sekitar Bukit Gambir
 
TANGKAK - Penduduk beberapa kampung di sekitar Bukit Gambir, di sini, kesal tindakan tidak bertanggungjawab individu yang mengedarkan risalah berbentuk perjudian ke rumah mereka.

Risalah itu memaparkan gambar Angkor Wat dan tiket pembelian judi sebuah syarikat perjudian dan salinan cek yang kononnya memenangi perjudian.

Selain itu, turut disertakan dua nombor telefon bimbit dan alamat lengkap berpangkalan di Rantau Panjang, Kelantan, bagi memudahkan orang ramai berhubung.

Penduduk Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Mohd Ghazali Ali, 46, berkata, ketika hendak keluar ke pekan bersama isterinya kira-kira jam 10 pagi, dia terlihat ada kertas putih diselitkan di beranda rumahnya.

Menurutnya, pada mulanya, dia menyangka ia bil elektrik atau air yang diletakkan di situ.

Namun katanya, selepas melihatnya, dia terkejut mendapati kertas berkenaan risalah yang mengajak orang ramai berjudi.

“Saya tak tahu siapa letak risalah tu. Apabila saya tanya penduduk kampung, mereka pun dapat risalah sama yang diselitkan di pintu atau tingkap rumah penduduk.

“Ada yang terlihat beberapa individu tak dikenali berjalan kaki dari rumah ke rumah mengedarkan risalah tersebut. Beberapa kampung berhampiran seperti Parit Kassan, Parit Bunga Raya Luar dan Parit Pulai juga menjadi sasaran individu terbabit,” katanya di sini, semalam.

Mohd Ghazali kesal dengan pengedaran risalah itu yang seolah-olah mengajak umat Islam tinggal di kampung berjudi, yang ditegah agama.

Seorang warga emas di Kampung Parit Kassan, Bariah Taib, 74, berkata, ketika membersihkan halaman rumah pada sebelah petang, dia terlihat kertas yang diselitkan di pintu pagar beranda rumahnya.

Menurutnya, biasanya, kad jemputan atau bil utiliti yang diselitkan di situ tetapi apabila diberitahu anaknya ia risalah yang mengajak orang kampung berjudi, dia terkejut.

“Orang itu tidak sepatutnya mengedarkan risalah tersebut di kawasan kampung yang penduduknya beragama Islam. Mereka perlu sensitif dengan perasaan orang Islam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Pulai, Mohd Som Leman berkata, kegiatan mengedarkan risalah tersebut turut berlaku di kampungnya.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu dibanteras terutama dalang yang mengedarkan risalah itu ke rumah penduduk.

“Masyarakat kampung kesal dengan perbuatan itu dan bertambah gusar apabila pengaruh menggalakkan orang ramai berjudi telah sampai ke pintu rumah penduduk.

“Kami bimbang ia mempengaruhi generasi muda terlibat judi. Perbuatan individu terbabit juga tidak menjaga perasaan dan sensitiviti masyarakat Islam di kampung,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 MAC 2016