PENGUNJUNG SETIA

25 Jun 2018

DUA MAUT BAS TERBABAS LANGGAR PEMBAHAGI JALAN

BAS ekspres yang dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM 163.8 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Tangkak, Johor tengah malam tadi. - UTUSAN ONLINE

TANGKAK 25 Jun - Dua penumpang maut, manakala tujuh termasuk pemandu bas cedera selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas di Kilometer 163.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pukul 3.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Tee Suang Lee, 55, dan P. Suthan, 33.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, bas yang membawa 37 penumpang itu berlepas dari Terminal Bas Larkin menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 12 tengah malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, bas dipandu lelaki berusia 46 tahun itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan di lorong kiri.
“Ekoran itu, empat termasuk pemandu bas berkenaan parah, manakala tiga lagi cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/2-maut-bas-terbabas-langgar-pembahagi-jalan-1.696269#ixzz5L8Xgey6D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

18 Jun 2018

5,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA DUN GAMBIR

MUHYIDDIN YASSIN menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Serbaguna Gambir, Tangkak, Johor sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE


TANGKAK 18 Jun - Lebih 5,000 hadir di Rumah Terbuka Hari Raya Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir di Dewan Serbaguna Pekan Bukit Gambir di sini sebentar tadi.
Rumah terbuka ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri itu bermula pukul 9 pagi dan selesai kira-kira pukul 1 petang.
Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak pelbagai kaum selain beramah mesra dengan tetamu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/5-000-meriahkan-rumah-terbuka-dun-gambir-1.692420#ixzz5L8UQ5xvZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

07 Jun 2018

SUASANA BENDANG MENDAMAIKAN


TANGKAK 7 Jun - Jika ingin menikmati suasana alam semula jadi yang mendamaikan jiwa, Kampung Sawah Ring di Mukim Grisek, Bukit Gambir, dekat sini adalah destinasi untuk bersantai yang sesuai seisi keluarga dan rakan-ra­kan, khususnya pada hujung minggu atau cuti umum.

Justeru, tidak hairan kampung tersebut kini kian popular dalam kalangan pengunjung berkeluarga yang ingin menghabiskan masa untuk menikmati keindahan alam dan merasai pengalaman hidup masyarakat yang masih berpegang teguh dengan budaya lama 'orang kampung'.
Atas faktor itulah yang me­nguatkan semangat Bendahari Koperasi Bela Rakyat Gambir Ledang Berhad, Hussein Mujip, 54, mengajak pesawah di kampung tersebut mewujudkan home­stay atau inap desa untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada para pengunjung terutamanya yang datang dari luar.
“Kami bermula dengan menjadikan 10 buah rumah penduduk sebagai homestay, tetapi yang aktif separuh sahaja. Pada peringkat awal, kami mengikut konsep membenarkan pelancong tinggal bersama-sama, tetapi setelah memikirkan keselesaan kedua-dua belah pihak, kami menyerahkan sesebuah rumah untuk dihuni pengunjung berkeluarga,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pada peringkat awal, keba­nyakan pengunjung menggunakan kemudahan penginapan yang kini dikenali sebagai Desastay itu untuk mengadakan kenduri kahwin atau tempat bersanggah bagi keluarga pengantin dari luar daerah.
Namun, bilangan pengunjung luar yang ingin menempah tempat penginapan di kampungnya meningkat dan pelanggan tidak terbatas kepada keluarga pengantin, malah lebih berminat untuk tinggal di situ antara satu hingga tiga hari.
Sebagai contoh, kata Hussein, semasa cuti menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, semua Desastay telah ditempah oleh keluarga dari bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan bandar lain yang ingin berhari raya bersama keluarga di kampung.
“Kita terpaksa menggunakan kaedah siapa cepat dia dapat dalam menerima tempahan pe­langgan,” katanya sambil menyatakan bayaran yang dikenakan lebih tinggi berbanding hanya RM200 semalam pada cuti hari biasa.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyediakan pakej seperti memancing ikan darat di tali air sawah padi, berbasikal mengeli­lingi sawah seluas 270 hektar di samping persembahan seni silat sendeng, permainan kompang dan tarian tradisional.
Selain itu, mereka turut dijemput menyaksikan aktiviti seperti partandingan wau dan sukan rakyat yang sering dianjurkan penduduk kampung untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kami mempunyai kumpulan silat daripada Persatuan Seni Silat Sen­deng, penari zapin dan permainan kompang tradisional remaja terdiri daripada anak-anak penduduk kampung,” katanya.
Bagi menjadikan percutian itu lebih menarik, para pengunjung juga diberi peluang melawat projek tanaman buah-buahan tropika seperti jambu batu, limau manis dan menyaksikan penghasilan produk makanan ringan seperti mi siput dan popia tujuh perasa yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.
Mengenai rancangan masa depan, Hussein memberitahu, pihaknya bercadang membina Dataran Sawah di tengah-tengah kawasan sawah padi di situ untuk dijadikan medan bergambar ter­utama bagi pasangan pengantin yang ingin merakamkan saat indah mereka di kawasan tersebut.
“Kita juga merancang menjadikan Sungai Sawah Ring sebagai pusat aktiviti sukan air seperti berkayak sama ada untuk pengunjung mahupun bagi kemudahan golongan muda tempatan beriadah pada masa lapang,” katanya.
Bagi pengunjung yang ingin mengunjungi Kampung Sawah Ring menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, mereka boleh keluar di susur keluar Plaza Tol Bukit Gambir yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari kampung tersebut atau menghubunginya menerusi talian 011-11001772 dan 017-9500255 untuk keterangan lanjut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/suasana-bendang-mendamaikan-1.687561#ixzz5KtjDAo2d
© Utusan Melayu (M) Bhd