“Kami bermula dengan menjadikan 10 buah rumah penduduk sebagai homestay, tetapi yang aktif separuh sahaja. Pada peringkat awal, kami mengikut konsep membenarkan pelancong tinggal bersama-sama, tetapi setelah memikirkan keselesaan kedua-dua belah pihak, kami menyerahkan sesebuah rumah untuk dihuni pengunjung berkeluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pada peringkat awal, kebanyakan pengunjung menggunakan kemudahan penginapan yang kini dikenali sebagai Desastay itu untuk mengadakan kenduri kahwin atau tempat bersanggah bagi keluarga pengantin dari luar daerah.
Namun, bilangan pengunjung luar yang ingin menempah tempat penginapan di kampungnya meningkat dan pelanggan tidak terbatas kepada keluarga pengantin, malah lebih berminat untuk tinggal di situ antara satu hingga tiga hari.
Sebagai contoh, kata Hussein, semasa cuti menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, semua Desastay telah ditempah oleh keluarga dari bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan bandar lain yang ingin berhari raya bersama keluarga di kampung.
“Kita terpaksa menggunakan kaedah siapa cepat dia dapat dalam menerima tempahan pelanggan,” katanya sambil menyatakan bayaran yang dikenakan lebih tinggi berbanding hanya RM200 semalam pada cuti hari biasa.
Selain itu, mereka turut dijemput menyaksikan aktiviti seperti partandingan wau dan sukan rakyat yang sering dianjurkan penduduk kampung untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kami mempunyai kumpulan silat daripada Persatuan Seni Silat Sendeng, penari zapin dan permainan kompang tradisional remaja terdiri daripada anak-anak penduduk kampung,” katanya.
Bagi menjadikan percutian itu lebih menarik, para pengunjung juga diberi peluang melawat projek tanaman buah-buahan tropika seperti jambu batu, limau manis dan menyaksikan penghasilan produk makanan ringan seperti mi siput dan popia tujuh perasa yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.
“Kita juga merancang menjadikan Sungai Sawah Ring sebagai pusat aktiviti sukan air seperti berkayak sama ada untuk pengunjung mahupun bagi kemudahan golongan muda tempatan beriadah pada masa lapang,” katanya.
Bagi pengunjung yang ingin mengunjungi Kampung Sawah Ring menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, mereka boleh keluar di susur keluar Plaza Tol Bukit Gambir yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari kampung tersebut atau menghubunginya menerusi talian 011-11001772 dan 017-9500255 untuk keterangan lanjut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/suasana-bendang-mendamaikan-1.687561#ixzz5KtjDAo2d
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan