SYAMSUL BAHRI SATI sedang menjahit songkok tinggi di Kompleks FAMA
Bukit Gambir, Tangkak, Johor, kelmarin.
TANGKAK
27 Mei - Setiap Ramadan adalah saat yang paling sibuk bagi seorang
pembuat songkok tinggi terkenal, Syamsul Bahri Sati dari Bukit Gambir di
sini kerana terpaksa menyiapkan lebih banyak tempahan pelanggan untuk
persiapan menyambut 1 Syawal.
Begitu juga keadaanya pada tahun ini,
Syamsul Bahri, 59, tidak mempunyai banyak masa rehat kerana jumlah
tempahan yang datang bukan sahaja dari sekitar daerah ini dan Muar
tetapi dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan bandar lain.
“Untuk songkok tinggi yang biasa digunakan oleh
pasukan tarian zapin Johor sahaja sudah melebihi 100 pasang setakat ini
sudah disiapkan.
“Ini tidak termasuk songkok biasa yang sudah
ditempah awal oleh peniaga-peniaga dari merata tempat,” katanya ketika
ditemui di kompleks Pasar Tani, pekan Bukit Gambir di sini semalam.
Beliau mengakui tempahan songkok tinggi banyak
dari luar daerah khususnya Kuala Lumpur dan Selangor selepas cerita
mengenai kepakarannya membuat songkok tinggi disiarkan di TV3
baru-baru ini.
Menurut Syamsul Bahri, kebanyakan pelanggannya
terkejut dengan harga setiap pasang songkok tinggi yang dijualnya
sehingga 50 peratus lebih murah daripada yang dijual di kedai-kedai
songkok tersohor lain di tempat lain.
“Setiap pasang songkok tinggi yang saya buat
dengan baldu berkualtii terbaik saya cuma kenakan harga RM80 sahaja,
berbanding di tempat lain dijual pada harga RM150 manakala songkok
rendah biasa saya jual antara RM20 hingga RM30 sahaja,” katanya.
Ditanya tentang kemahiran membuat songkok,
Syamsul Bahri menceritakan, kemahiran itu diwarisi daripada arwah
ayahnya yang pernah membuka kedai songkok sejak beliau masih kecil di
pekan Bukit Gambir iaitu kira-kira 30 tahun lalu.
Sekarang ini beliau dibantu isteri dan seorang anak lelakinya, Nafiz Faizal untuk menjahit tempahan songkok tradisional itu.
Syamsul Bahri yang bersyukur dengan sambutan umat
Islam terhadap songkok buatannya memberitahu, untuk songkok tinggi,
beliau boleh menyiapkan 20 pasang sehari, tidak termasuk songkok biasa
yang telah mula dibuat sebelum ketibaan Ramadan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan