Selain rasanya yang lazat, popia Norain digoreng panas-panas di lokasi itu juga untuk meyakinkan pelanggan terutama mereka yang mementingkan kebersihan dan kesegaran makanan untuk mengelak daripada keracunan makanan semasa membuat pilihan juadah berbuka puasa.
“Ini adalah tahun ke-11, saya berniaga di sini dan saya bersyu­kur sambutan masyarakat begitu memberangsangkan,” ujar ibu kepada tiga anak yang menetap di Kampung Sawah Ring berhampiran pekan tersebut ketika ditemui di bazar Ramadan itu semalam.
Setiap hari beliau menjual antara 1,500 hingga 1,750 ke­ping popia daging, ayam, sa­yur-sayuran, chese dan lain-lain perasa pada harga RM2 untuk setiap empat keping.
Menurut Norain, jumlah jualan akan meningkat hingga melebihi 2,000 keping pada hari cuti hujung minggu ekoran kehadiran pengunjung dari luar seperti Segamat, Kuala Lumpur, Melaka selain pelanggan-pe­langgan dari Bukit Serampang, Pagoh dan Muar.
Beliau dibantu dua anak perem­puan yang kebetulan bercuti sepanjang Ramadan ini menyediakan popia secara menual pada sebelah pagi setiap hari sebelum membawa untuk digo­reng di bazar tersebut selepas tengah hari sejak Ramadan bermula.
“Biasanya semua popia kami habis dijual seawal pukul 6.30 petang dan kami sempat balik rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga,” tambah beliau yang mendapat galakan suaminya, Mohamad Azmi, seorang pesawah padi sepenuh masa di Kampung Sawah Ring.
Selain menjual popia di bazar tersebut, beliau menjalankan perniagaan di kantin sekolah agama di kampungnya pada hari persekolahan biasa sebelum kedatangan Ramadan untuk membantu menambah pendapatan keluarga.