Pengumuman tersebut dilakukan mereka selepas menyedari kehendak dan tekad masyarakat yang tidak mahu tertinggal dalam arus pemodenan berikutan perubahan tampuk kepemimpinan negara.
Selain Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Simpang 4, turut membuat keputusan tersebut adalah Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Jaya, Abd. Hamid A. Majid.
Turut meletakkan jawatan dan keluar parti ialah Ketua UMNO Cawangan Kampung Datuk Ngah; Kampung Seri Menanti; Taman Sri Jaya; Kampung Sungai Rambai dan Kampung Parit Ghani.
Abd. Hamid berkata, masyarakat di kawasan itu masih memerlukan bantuan dan sokongan serta peruntukan daripada kerajaan bagi menambah baik dan memenuhi keperluan semasa.
“Kami sebagai pendokong demokrasi akur dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan hati terbuka dan pada masa sama berlapang dada serta bersedia menyokong dan memberi kerjasama kepada kerajaan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini sebentar tadi.
Ketujuh-tujuh cawangan tersebut yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir mempunyai 833 ahli UMNO. -UTUSAN ONLINE