PENGUNJUNG SETIA

31 Mei 2019

ANGGOTA IPD TANGKAK LAKSANA KHIDMAT SOSIAL SEMPENA RAMADAN


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosli Abu Bakar disaksikan Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar (tengah) pada program khidmat sosial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di Kampung Hang Tuah, Sagil.
 
TANGKAK: Rasa gembira jelas tergambar pada wajah seorang ketua keluarga apabila rumah kediamannya yang uzur dibaiki lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Rosli Abu Bakar, 59, yang tinggal bersama keluarga di Kampung Hang Tuah, Sagil melahirkan rasa syukur apabila atap kediamannya yang uzur ditukar baru sempena program khidmat sosial anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, baru-baru ini.

Rosli berkata, beliau yang tinggal bersama enam orang anak dan menjaga ibunya yang sudah uzur mengucapkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada anggota polis IPD Tangkak yang bergotong-royong bersama penduduk kampung mengganti zink rumahnya yang usang.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri dan anggotanya yang memberikan sumbangan mengganti zink, barang dapur dan keperluan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
 
Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bersama penduduk kampung bergotong-royong mengganti zink rumah Rosli Abu Bakar di Kampung Hang Tuah, Sagil dekat Tangkak.

Sementara itu, Mohad Idris berkata inisiatif mengadakan program khidmat sosial bagi membantu individu atau keluarga kurang berkemampuan itu merupakan aktiviti tahunan IPD Tangkak sempena bulan Ramadan.

Katanya, warga IPD Tangkak secara sukarela memberikan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan bagi meringankan beban keluarga yang dipilih.

“Diharapkan usaha ini menjadi landasan warga IPD Tangkak mendekati masyarakat kampung malah saya sentiasa menggalakkan pegawai dan semua anggota dapat membina hubungan lebih erat dan mesra dengan masyarakat.

“Bila masyarakat selesa dan mesra dengan kami, penyaluran maklumat secara terus, telus dan tepat dapat diperoleh bagi mempercepatkan risikan maklumat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dipetik dari laman Facebook Polis Daerah Tangkak.

Hadir sama dalam program itu Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis, Idris Abd Rahman; Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Tangkak, Dalilah Basiron dan Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri (duduk lima kanan) bersama Ketua Kampung Hang Tuah, Norazman Abu Bakar (duduk lima kiri) bergambar ramai selepas  program khidmat sosial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di Kampung Hang Tuah, Sagil.

Norazman pula berkata, melalui program bersama masyarakat yang dilaksanakan pihak IPD Tangkak itu dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk kampung dengan pihak polis.

Katanya, moto ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dapat membina hubungan dua hala dalam menyalurkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku agar langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Kami berterima kasih kepada pihak IPD Tangkak yang bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong membaiki kediaman keluarga Rosli, memberikan sumbangan keperluan dapur dan berbuka puasa bersama,” katanya. -INFOLEDANG

18 Mei 2019

AGIH BUBUR KACANG PERCUMA UNTUK JUADAH BERBUKA PUASA

Arman Manan (kanan) mengagihkan bubur kacang kepada pengunjung yang singgah membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak.


TANGKAK: Kebiasaannya setiap kali tiba bulan Ramadan, pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai menjadi satu aktiviti badan bukan kerajaan (NGO), masjid atau surau sebagai juadah berbuka puasa.

Tetapi berlainan pula bagi peniaga Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, di sini apabila bubur kacang hijau menjadi menu agihan juadah kepada orang ramai dan pengunjung bazar tersebut.
Bubur kacang yang sudah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak.

Penyelaras program, Arman Manan, berkata idea untuk memasak bubur kacang bagi menggantikan bubur lambuk sebagaimana kebiasaannya timbul ketika bersembang bersama rakan-rakan kumpulan WhatsApp Warung Wak Endan (WWE).

Katanya, cadangan membuat bubur kacang untuk diagihkan kepada orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan di kampung itu mendapat sokongan rakan-rakan yang lain.

“Kami ingin membuat sedikit kelainan dengan membuat bubur kacang hijau bukan bubur lambuk seperti kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan jawatankuasa masjid atau surau untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Kerja menyediakan bubur kacang dilakukan secara gotong royong antara peniaga bazar dan ahli kumpulan WWE daripada memasak hinggalah mengagihkan kepada penerima,” katanya ketika mengagihkan bubur kacang kepada pengunjung di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, di sini.
Pengunjung yang membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan diberikan bubur kacang percuma.

 
Arman berkata, sebanyak 150 bekas bubur kacang berjaya diagihkan kepada orang ramai yang singgah membeli juadah berbuka puasa di bazar itu.

Katanya, sempena bulan Ramadan peniaga dan ahli kumpulan WWE mengumpulkan sumbangan dalam kalangan mereka bagi menjayakan program agihan bubur kacang kepada orang ramai.

“Bazar Ramadan yang ditempatkan di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan ini menjual pelbagai juadah berbuka puasa antaranya kuih-muih, nasi ambeng, ikan bakar, lemang dan pelbagai jenis air minuman.

“Alhamdulillah, selain memudahkan penduduk kampung ini mendapatkan juadah berbuka puasa, ia juga menjadi singgahan orang ramai yang melalui jalan Sagil - Bukit Gambir dan kampung sekitarnya,” katanya. -INFOLEDANG