Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak,
Zakaria Haiyun (tengah) dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Nor Hisham
Othman (dua kanan) pada majlis perasmian Ekspedisi Membaca Kuala Pilah -
Tangkak 2019 dan Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung Ledang’ di
Dewan SMK Tun Mamat, Tangkak.
TANGKAK: Amalan membaca bahan bacaan berbahasa
Melayu dalam kalangan masyarakat perlu
diterapkan sebagai satu kebiasaan dengan menjadikan ia aktiviti harian
sebagaimana dilakukan masyarakat di negara-negara maju.
Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria
Haiyun berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara
berterusan melalui aktiviti membaca buku dan bahan bacaan lain setiap hari.
Katanya, kita bimbang bahasa Melayu akan pupus
satu hari nanti jika tiada usaha untuk memartabatkannya khususnya dalam
kalangan rakyat Malaysia sendiri.
“Malah ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan
menyeru supaya membaca. Melalui pembacaan bahan-bahan bacaan bermanfaat ia menjadi
kunci ilmu pengetahuan bagi individu yang menjadikan ia (membaca buku) sebagai
hobi harian.
“Menerusi satu kajian, pada tahun 2014, rakyat
Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja setahun namun hari ini ada
peningkatan apabila sebanyak 15 buah buku dibaca setahun,” katanya ketika
berucap merasmikan Majlis Ekspedisi Membaca Kuala Pilah - Tangkak 2019 dan
Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung Ledang’ di Dewan Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala
Pilah, Nor Hisham Othman; Pengetua SMK Tun Mamat, Syed Yusof Syed Omar; Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ),
Mohd Isnin Tawaf; Pengerusi Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS), Rosman Md Shah
dan Ketua Forum Sastera Deli Serdang Medan (FOSAD), Indonesia, Mihar Harahap.
Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor,
Mohd Isnin Tawaf (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pegawai Pendidikan
Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun pada majlis perasmian Ekspedisi Membaca Kuala
Pilah - Tangkak 2019 dan Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung
Ledang’ di Dewan SMK Tun Mamat, Tangkak.
Zakaria berkata, masyarakat di negara ini perlu mengubah sikap mereka dengan mencontohi rakyat di negara-negara maju yang menjadikan membaca buku sebagai hobi mereka.
Katanya, sekurang-kurangnya melalui pembacaan
kita akan memperolehi ilmu pengetahuan yang belum diketahui di samping
menggunakan masa terluang lebih bermanfaat.
Beliau mengalu-alukan program yang dianjurkan
KBKJ dan KSNS yang dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara Pejabat Pendidikan
Daerah Tangkak dan Kuala Pilah dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan menyemarakkan
semangat membaca dalam kalangan pelajar sekolah.
Peserta program Ekspedisi Membaca
Kuala Pilah - Tangkak 2019 bergambar kenangan selepas program selesai di Dewan
SMK Tun Mamat, Tangkak.
“Program ini amat bagus terutama dengan penglibatan
pelajar sekolah yang secara tidak langsung dapat merangsang semangat mereka
untuk menjadikan membaca buku sebagai tabiat yang berfaedah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Isnin berkata, antara
pengisian program itu, Memperkatakan Ketokohan Sasterawan Haji Ali Haji Ahmad @
Nora oleh mantan Pegawai Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Mohamad Sahidan; Bual
Santai Bersama Ikon Membaca KBKJ, Syed
Indra Syed Omar @ Siso Kopratasa dan Ikon Penulis KBKJ, Aminah Mokhtar serta
Program Membaca Bersama Komuniti Kampung Orang Asli Tanah Gembur, Tangkak. -INFOLEDANG : 15092019