PENGUNJUNG SETIA

16 September 2019

MASYARAKAT PERLU JADIKAN AMALAN MEMBACA SEBAGAI AKTIVITI HARIAN

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun (tengah) dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Nor Hisham Othman (dua kanan) pada majlis perasmian Ekspedisi Membaca Kuala Pilah - Tangkak 2019 dan Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung Ledang’ di Dewan SMK Tun Mamat, Tangkak.

TANGKAK: Amalan membaca bahan bacaan berbahasa Melayu  dalam kalangan masyarakat perlu diterapkan sebagai satu kebiasaan dengan menjadikan ia aktiviti harian sebagaimana dilakukan masyarakat di negara-negara maju.

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara berterusan melalui aktiviti membaca buku dan bahan bacaan lain setiap hari.

Katanya, kita bimbang bahasa Melayu akan pupus satu hari nanti jika tiada usaha untuk memartabatkannya khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

“Malah ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan menyeru supaya membaca. Melalui pembacaan bahan-bahan bacaan bermanfaat ia menjadi kunci ilmu pengetahuan bagi individu yang menjadikan ia (membaca buku) sebagai hobi harian.

“Menerusi satu kajian, pada tahun 2014, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja setahun namun hari ini ada peningkatan apabila sebanyak 15 buah buku dibaca setahun,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ekspedisi Membaca Kuala Pilah - Tangkak 2019 dan Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung Ledang’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Nor Hisham Othman; Pengetua SMK Tun Mamat, Syed Yusof Syed Omar;  Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ), Mohd Isnin Tawaf; Pengerusi Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS), Rosman Md Shah dan Ketua Forum Sastera Deli Serdang Medan (FOSAD), Indonesia, Mihar Harahap.
 
Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor, Mohd Isnin Tawaf (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun pada majlis perasmian Ekspedisi Membaca Kuala Pilah - Tangkak 2019 dan Pelancaran Buku ‘Payamas, Kampung Di Kaki Gunung Ledang’ di Dewan SMK Tun Mamat, Tangkak.

Zakaria berkata, masyarakat di negara ini perlu mengubah sikap mereka dengan mencontohi rakyat di negara-negara maju yang menjadikan membaca buku sebagai hobi mereka.

Katanya, sekurang-kurangnya melalui pembacaan kita akan memperolehi ilmu pengetahuan yang belum diketahui di samping menggunakan masa terluang lebih bermanfaat.

Beliau mengalu-alukan program yang dianjurkan KBKJ dan KSNS yang dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak dan Kuala Pilah dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan pelajar sekolah.
 
Peserta program Ekspedisi Membaca Kuala Pilah - Tangkak 2019 bergambar kenangan selepas program selesai di Dewan SMK Tun Mamat, Tangkak. 
 
“Program ini amat bagus terutama dengan penglibatan pelajar sekolah yang secara tidak langsung dapat merangsang semangat mereka untuk menjadikan membaca buku sebagai tabiat yang berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isnin berkata, antara pengisian program itu, Memperkatakan Ketokohan Sasterawan Haji Ali Haji Ahmad @ Nora oleh mantan Pegawai Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Mohamad Sahidan; Bual Santai Bersama  Ikon Membaca KBKJ, Syed Indra Syed Omar @ Siso Kopratasa dan Ikon Penulis KBKJ, Aminah Mokhtar serta Program Membaca Bersama Komuniti Kampung Orang Asli Tanah Gembur, Tangkak. -INFOLEDANG : 15092019

Tiada ulasan: