PENGUNJUNG SETIA

08 Disember 2020

KARTUNIS SUKUN DAN UNEH TEMUI PEMINAT DI BUKIT GAMBIR

Sukun (duduk) dan Uneh (tengah) bergambar kenangan bersama peminatnya pada Program Santai Bersama Kartunis Sukun & Uneh di Bukit Gambir, Tangkak. •Infoledang

TANGKAK: Peminat kartun di sekitar Bukit Gambir, di sini berpeluang bertemu dengan dua orang kartunis tempatan, Sukun dan Uneh yang masing-masing berasal daripada daerah Muar dan Tangkak, baru-baru ini.

Mereka mengadakan Program Santai Bersama Kartunis Sukun dan Uneh yang diadakan di Restoran Denatabara di pekan itu selama empat jam bagi mempromosikan komik Sukun: Jangan Tak Mandi yang mengandungi lukisan kartun hasil karya Sukun bersama 11 kartunis undangan. 

Menurut Uneh atau nama sebenarnya Hasren Ismail, sambutan daripada peminat kartun di kawasan itu amat menggalakkan terutama kanak-kanak yang sering mengikuti bengkel mewarna yang dianjurkannya sama ada secara bersemuka atau dalam media sosial Facebook.

Katanya, selain berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kartunis berkenaan, pembeli komik Sukun: Jangan Tak Mandi turut mendapat autograf istimewa Sukun dan Uneh sebagai tanda kenang-kenangan.

“Program santai ini bagi memberi peluang peminat lukisan kartun bertemu dengan kartunis itu sendiri. Ada peminat yang tidak tahu, kartunis yang mereka minati itu berasal dari daerah mereka sendiri.

“Dulu banyak majalah kartun diterbitkan malah ada yang masih menyimpannya sehingga kini sebagai koleksi. Tetapi sejak kebelakangan ini penerbitan majalah seumpama itu semakin berkurangan dan usaha menghimpunkan karya beberapa kartunis dalam satu buku dapat mengembalikan nostalgia peminat dunia perkartunan,” kata kartunis kelahiran Bukit Gambir yang turut mendapat jolokan Raja Pensil Warna.

Uneh sedang melayani peminatnya pada program santai dan promosi majalah Sukun: Jangan Tak Mandi di Bukit Gambir, Tangkak. •Infoledang

Sementara itu, Sukun atau nama sebenarnya Md Hanafi Othman berkata dia bersama rakan kartunis tempatan turun padang dalam beberapa program santai bagi memberi peluang kepada peminat kartun di daerah ini dapat beramah mesra dan membeli majalah yang diterbitkan.

Katanya, penerbitan majalah Sukun: Jangan Tak Mandi dapat mengembalikan kenangan menarik bersama-sama rakan kartunis satu ketika dahulu yang sama-sama memeriahkan dunia perkartunan di negara ini apabila karya mereka dimuatkan dalam majalah tersebut.

Kartunis Sukun sedang menandatangani autograf di dalam majalah Sukun: Jangan Tak Mandi yang dibeli oleh peminatnya. •Infoledang

“Alhamdulillah, sambutan peminat kartun terhadap majalah Sukun: Jangan Tak Mandi begitu menggalakkan apabila ia sudah memasuki cetakan kedua sejak diterbitkan pertengahan tahun ini,” katanya yang pernah berkarya di majalah Jenaka dan Ujang sekitar tahun 1990-an.

•INFOLEDANG•08122020•

04 Disember 2020

PEMATUHAN SOP BANTU KEKANG PENULARAN WABAK COVID-19

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tangkak, Datuk Hamim Samuri (kiri) menyampaikan barangan Kempen Kesedaran Pencegahan Covid-19 kepada wakil penduduk di perkarangan Masjid Jamek Parit Kassan Bukit Gambir, Tangkak. | INFOLEDANG

TANGKAK: Dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat,  peringatan mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) amat perlu.

Sehubungan itu, Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Tangkak mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat terutama di kawasan kampung.

Pengerusinya, Datuk Hamim Samuri berkata berikutan terdapat beberapa kes jangkitan Covid-19 di beberapa tempat dalam daerah ini termasuk Kluster Parit Kassan, setiap individu di dalam masyarakat perlu sentiasa peka dengan perkembangan wabak tersebut.

Katanya, pematuhan SOP  amat penting dalam usaha mengekang penyebaran wabak tersebut dalam kalangan masyarakat dengan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka, mencuci tangan, menggunakan hand sanitizer dan menjaga penjarakan fizikal.

"Di Kampung Parit Kassan masih belum bebas daripada Covid-19 walaupun tiada kes baru tetapi selagi Kluster Parit Kassan belum ditamatkan ini bermakna kita perlu sentiasa berwaspada dan membendung sebarang jangkitan wabak ini.

"Program intensif pengagihan risalah penerangan berkaitan wabak, pelitup muka dan hand sanitizer ke rumah penduduk di sini adalah inisiatif kami,  mudah-mudahan dalam tempoh ini tiada penularan baru dan Kluster Parit Kassan dapat ditamatkan oleh KKM," katanya selepas penyampaian barangan Kempen Kesedaran Pencegahan Covid-19 kepada wakil penduduk di perkarangan Masjid Jamek Parit Kassan, Bukit Gambir selepas Solat Jumaat, di sini.

Hamim (kiri) bersama Jawatankuasa Masjid Jamek Parit Kassan selepas pengagihan barangan Kempen Kesedaran Pencegahan Covid-19. | INFOLEDANG

Pada program itu jemaah turut menerima agihan risalah, pelitup muka dan hand sanitizer sumbangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tangkak selain agihan ke 270 buah rumah penduduk di kampung itu.

Hamim turut mengajak penduduk di daerah itu saling mengingatkan antara satu sama lain supaya sentiasa mematuhi SOP yang dikenakan pihak kerajaan menerusi KKM.

Katanya, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini terutama di daerah yang berdekatan menjadi kebimbangan kepada masyarakat walaupun bebas bergerak atas urusan ekonomi namun pematuhan SOP menjadi keutamaan bagi memutuskan rantaian pandemik ini.

"Jika kita patuh kepada SOP sepenuhnya walaupun sibuk dengan urusan harian dan ekonomi, kita yakin ia dapat memutuskan rantaian Covid-19 bukan sahaja di daerah ini tetapi kita turut membantu Johor dan negara dalam mengekang penularan wabak ini. 

"Kita sama-sama membantu mengekang wabak ini dan berdoa agar negara kita bebas daripada Covid-19 secepat mungkin," katanya.

INFOLEDANG•04122020•