TANGKAK: Simpati dengan nasib umat Islam dan rakyat Palestin yang hidup dalam kesengsaraan berikutan keganasan dan pembunuhan yang dilakukan rejim Israel, Jawatankuasa Surau An Nur, Taman Cempaka Bukit Gambir dekat Tangkak sepakat melancarkan kutipan tabung dalam kariah taman berkenaan.
Pengerusinya, Ismail Abd Rahman berkata pihaknya sepakat membuat kutipan derma bagi membantu kesengsaraan rakyat Palestin yang terus-terusan diserang rejim Israel tanpa berperikemanusiaan.
Katanya, semangat perpaduan yang terdapat dalam kalangan kariah Surau An Nur dengan kerjasama Pakatan Wanita Islam Taman Cempaka bekerjasama membuat kutipan derma mempamerkan soladariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin khususnya umat Islam di sana.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengumpulkan sejumlah RM4,896.00 hasil sumbangan umat Islam di kariah surau ini yang masing-masing turut bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin.
“Sumbangan yang kami kumpulkan diserahkan kepada Pengurus Aman Palestin Cawangan Johor, Norul Ahmady Abd Rahman untuk diuruskan agar sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Palestin di sana,” katanya selepas penyampaian sumbangan di Surau An Nur Taman Cempaka dekat Bukit Gambir, Tangkak, di sini.
Ismail berkata kesepakatan yang ditunjukkan masyarakat Islam di taman
itu membuktikan semangat untuk membantu saudara seagama yang ditimpa musibah
begitu kuat dan pihak jawatankuasa surau melahirkan rasa terima kasih atas
kerjasama tersebut.-iNFOLEDANG 2021