PENGUNJUNG SETIA

16 September 2022

FESTIVAL AMAZING TANGKAK 2022 TARIK PENGUNJUNG SERTAI PELBAGAI AKTIVITI

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar (kanan) melawat reruai Galeri Sejarah Tangkak sempena Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Penganjuran Festival Amazing Tangkak 2022 yang penuh dengan pelbagai pengisian bermanfaat dapat menarik kehadiran orang ramai ke daerah itu sekali gus memperkenalkan Tangkak sebagai daerah pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata festival anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu berjaya menarik orang ramai berkunjung ke Dataran Ledang bagi menyaksikan pelbagai program yang dianjurkan.

Katanya, sebelum ini masyarakat tidak dapat menyertai aktiviti seumpama itu akibat kekangan pandemik Covid-19 tetapi kini mereka gembira kerana dapat membawa keluarga bersantai sambil menyaksikan atau menyertai aktivit yang dianjurkan.

“Festival Amazing Tangkak 2022 ini satu program yang baik untuk masyarakat Tangkak dan sekitarnya malah ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga tempatan yang menyertai festival ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar (tengah) sambil disaksikan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezlan Farid Mohd Said (kiri) menerima cenderahati berupa buku-buku terbitan Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak ketika melawat reruai Tinta Karya sempena Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor

Hadir sama Yang Dipertua MDT, Ezlan Farid Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani dan Penyelaras Khas DUN Tangkak, Datuk Ir Hamim Samuri.

Raven berkata MDT telah mengenalpasti beberapa tempat menarik untuk diketengahkan menjadi produk pelancongan daerah Tangkak.-INFOLEDANG

15 September 2022

PUSAT PELANCONGAN GUNUNG LEDANG AKAN DIBUKA NOVEMBER DEPAN - RAVEN KUMAR

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, Raven Kumar A/L Krishnasamy (dua kiri) melawat reruai pameran buku Persatuan Tinta Karya Tangkak di Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak.

TANGKAK: Pusat pelancongan Gunung Ledang dijangka akan dibuka semula kepada orang awam pada November depan selepas ditutup baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, Raven Kumar A/L Krishnasamy berkata walaubagaimanapun ia masih belum ada pembaharuan dari segi kemudahan yang disediakan.

 

Katanya, kerajaan negeri mempunyai pelan terbaik untuk memajukan Gunung Ledang sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia dengan beberapa penambahbaikan kemudahan bagi menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

 

“Selepas lima tahun, Gunung Ledang akan berubah wajah. Kerajaan Negeri ada pelan terbaik untuk menaiktaraf kemudahan asas dan pelancongan di kawasan Gunung Ledang khususnya air terjun yang menjadi tarikan kunjungan pelancong.

 

“Menaik taraf kemudahan pelancongan perlu seiring dengan ekonomi penduduk tempatan. Jika pelancong datang ke Gunung Ledang tetapi penduduk tempatan tidak dapat menikmati hasilnya maka kita mahu penduduk tempatan juga menerima limpahan ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak.

 

Festival anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT)  itu berlangsung mulai 26 Ogos hingga 18 September ini. Pada majlis itu turut dilancarkan Booklet Pelancongan Daerah Tangkak, Buku Pelan Strategik 2021-2025 MDT dan Garis Panduan Komuniti Berpengawal Daerah Tangkak.

 

Hadir sama, Yang Dipertua MDT, Ezlan Farid Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Khairin Nisa Ismail; ADUN Gambir, Sahrihan Jani dan Pengerusi Penyelaras DUN Tangkak, Datuk Ir Hamim Samuri.

 

Raven berkata, pelancongan adalah satu sumber untuk meningkatkan pendapatan kepada penduduk tempatan dan kita perlu memikirkan platform mana yang boleh membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.

 

Katanya, selain pusat pelancongan Gunung Ledang, daerah Tangkak mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk eko-pelancongan, sawah padi, kraftangan, produk industri kecil sederhana dan pelbagai jenis makanan.

 

“Majlis Daerah Tangkak sudah mengenalpasti beberapa tempat untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan daerah Tangkak dan pelancong boleh merujuk kepada Booklet Pelancongan Daerah Tangkak yang dilancarkan hari ini,” katanya. -INFOLEDANG

11 Mei 2022

SAMBUTAN AIDILFITRI ADUN GAMBIR

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Khairin Nisa Ismail (duduk kiri) dan Pengerusi Penyelaras DUN Tangkak, Datuk Hamim Samuri (berdiri tiga dari kanan) turut hadir memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ADUN Gambir, Sahrihan Jani (duduk kanan) di Dewan Muafakat Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini. -INFOLEDANG

04 Mei 2022

JALINAN KASIH KELUARGA HAJI BASAR HAJAH SAODAH 2.0 HIMPUN 12 ADIK-BERADIK


Majlis Jalinan Kasih Keluarga Haji Basar Hajah Saodah 2.0 yang diadakan pada hari raya ketiga menghimpunkan 12 orang daripada 13 adik-beradik yang turut disertai anak, cucu dan cicit keluarga besar itu. Hampir 100 orang kerabat Allahyarham Haji Basar Haji Rahim dan Allahyarhamah Hajah Saodah Paimen hadir pada pertemuan itu yang diadakan di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor.

TANGKAK: Setelah dua tahun tidak dapat merayakan Aidilfitri berikutan kekangan pandemik Covid-19, tahun ini umat Islam di negara ini dapat menyambutnya dalam suasana gembira apabila dapat berkumpul bersama sanak saudara.

Mengambil kesempatan ini, majlis Jalinan Kasih Keluarga Haji Basar Hajah Saodah 2.0 yang menghimpunkan 12 daripada 13 orang adik-beradik generasi keluarga Allahyarham Haji Basar Haji Rahim dan Allahyarhamah Hajah Saodah Paimen mengadakan perjumpaan Aidilfitri buat kali kedua.

Majlis jalinan kasih yang diadakan di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di Tangkak pada hari raya ketiga itu menghimpunkan lebih 100 orang terdiri daripada anak-anak, cucu dan cicit yang datang daripada Negeri Sembilan dan seluruh Johor.

Perjumpaan itu dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan mereka dapat bertemu dengan pelbagai peringkat umur dalam generasi keluarga besar itu. -INFOLEDANG