TANGKAK: Pusat pelancongan Gunung Ledang dijangka akan dibuka semula kepada orang awam pada November depan selepas ditutup baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, Raven Kumar A/L Krishnasamy berkata walaubagaimanapun ia masih belum ada pembaharuan dari segi kemudahan yang disediakan.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai pelan terbaik untuk memajukan Gunung Ledang sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia dengan beberapa penambahbaikan kemudahan bagi menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Selepas lima tahun, Gunung Ledang akan berubah wajah. Kerajaan Negeri ada pelan terbaik untuk menaiktaraf kemudahan asas dan pelancongan di kawasan Gunung Ledang khususnya air terjun yang menjadi tarikan kunjungan pelancong.
“Menaik taraf kemudahan pelancongan perlu seiring dengan ekonomi penduduk tempatan. Jika pelancong datang ke Gunung Ledang tetapi penduduk tempatan tidak dapat menikmati hasilnya maka kita mahu penduduk tempatan juga menerima limpahan ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Festival Amazing Tangkak 2022 di Dataran Ledang, Tangkak.
Festival anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu berlangsung mulai 26 Ogos hingga 18 September ini. Pada majlis itu turut dilancarkan Booklet Pelancongan Daerah Tangkak, Buku Pelan Strategik 2021-2025 MDT dan Garis Panduan Komuniti Berpengawal Daerah Tangkak.
Hadir sama, Yang Dipertua MDT, Ezlan Farid Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Khairin Nisa Ismail; ADUN Gambir, Sahrihan Jani dan Pengerusi Penyelaras DUN Tangkak, Datuk Ir Hamim Samuri.
Raven berkata, pelancongan adalah satu sumber untuk meningkatkan pendapatan kepada penduduk tempatan dan kita perlu memikirkan platform mana yang boleh membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.
Katanya, selain pusat pelancongan Gunung Ledang, daerah Tangkak mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk eko-pelancongan, sawah padi, kraftangan, produk industri kecil sederhana dan pelbagai jenis makanan.
“Majlis Daerah Tangkak sudah mengenalpasti beberapa tempat untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan daerah Tangkak dan pelancong boleh merujuk kepada Booklet Pelancongan Daerah Tangkak yang dilancarkan hari ini,” katanya. -INFOLEDANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan