PENGUNJUNG SETIA

28 Januari 2012

BERDEPAN EMPAT PERTUDUHAN

Wartawan Sinar Harian

Berdepan empat pertuduhan

TANGKAK – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Azharuddin Ahmad, 43, dari Bukit Katil, Melaka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memeras ugut Chia Meng Hwa, bagi menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 di rumah Meng Hwa di Jalan Sialang, dekat sini, antara jam 8 hingga 9 malam, 22 Januari lalu.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun atau maksimum sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan sebatan.

Dia turut dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki enam biji pil Eramin 5 pada kira-kira jam 4 pagi, 23 Januari lalu yang boleh didenda RM100,000, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah pisau sepanjang 33 sentimeter (13 inci) tanpa kebenaran yang jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki sepucuk pistol palsu yang boleh dihukum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiga pertuduhan berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Perkarangan Balai Polis Tangkak antara 22 Januari hingga 23 Januari lalu antara jam 8 malam hingga 4.30 pagi.

Azharuddin mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin dan meminta supaya dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya Ashrof Adrin Kamarul, manakala tertuduh diwakili peguam, Joshua Kevin.

Analia kemudiannya memerintahkan tertuduh diberikan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin bagi semua empat pertuduhan dan menetapkan perbicaraan bagi kes dadah pada 28 Februari ini.

Manakala, tiga lagi pertuduhan akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin ini.

SUMBER: SINAR HARIAN, 28 JANUARI 2012

Tiada ulasan: