LEDANG – Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah diibaratkan penderitaan ditanggung seorang warga emas, Menhat Ismail, 64, yang mengalami penyakit kulit misteri sejak setahun lalu.
Menhat yang merupakan seorang peneroka di Felda Sri Ledang di sini, tidak pernah menyangka tompokan kudis biasa sebesar duit syiling 50 sen yang dialaminya di belakang badan akhirnya merebak ke seluruh tubuh.
“Sejak itu tahap kesihatan saya mula merosot dan mula mengalami simptom kulit kemerah-merahan, gatal-gatal dan mengelupas, sekali gus ia menjejaskan rupa kulit anggota badan.
“Kini saya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak berdaya untuk berjalan," katanya dengan nada lemah.
Bertambah menyedihkan apabila Menhat turut mengalami masalah untuk bercakap, malah tutur katanya menjadi kurang jelas sejak akhir-akhir ini.
Isterinya yang setia berada di sisi, Rosnah Jalil, 56, berkata, penyakit kulit aneh dialami suaminya yang dikesan pada Januari 2011 bagaikan datang dan pergi.
“Dalam tempoh dua bulan selepas diserang penyakit kulit ini, suami saya masih mampu memandu kereta, tetapi tiba-tiba ia menyerang kembali.
“Kami berasa pelik dan kali ini penyakit berkenaan semakin merebak ke bahagian anggota badan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Dia yang buntu dengan keadaan itu mengambil keputusan membawa suaminya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan, bagaimanapun hanya disuruh pulang kerana pihak hospital juga tidak dapat mengenal pasti penyakit yang menyerang suaminya.
“Pelbagai ikhtiar telah saya lakukan untuk merawat penyakit suami, termasuk mencuba perubatan tradisional.
“Bagaimanapun, semuanya menemui jalan buntu. Tetapi saya masih tidak berputus asa untuk mencari penawar bagi menyembuhkan penyakit ini,” katanya.
Menurut Rosnah yang kini mengambil alih tugas Menhat menanggung keluarga, hati seorang isteri miliknya bagaikan ditoreh-toreh dan menggunung rasa simpati setiap kali melihat Menhat mengerang menahan kesakitan.
“Luluh hati saya melihat keadaannya dan sejak dua bulan kebelakangan ini suami tidak boleh tidur malam. Jika tertidur, badannya akan berasa terlalu sejuk lalu rasa bisa menyerang," katanya.
Rosnah memberitahu, Menhat hanya boleh tidur lena menjelang awal pagi, itu pun hanya dalam tempoh kira-kira dua jam.
Selain itu juga, Menhat kehilangan selera makan sehingga tubuh badannya kini semakin kurus.
Rosnah yang merupakan ibu kepada 15 anak itu juga menceritakan bagaimana setiap hari dia perlu membersihkan kulit mengelupas pada badan suaminya sebanyak tiga kali.
“Jika tidak dibersihkan suami akan berasa tidak selesa dan gatal-gatal. Selain itu keruping pada telinga suami juga perlu dibersihkan dengan lebih kerap kerana jika tidak, dia tidak boleh mendengar,” katanya sayu.
Rosnah yang masih menyimpan harap suaminya akan sembuh seperti sediakala, merayu kepada mana-mana individu yang mempunyai kepakaran merawat penyakit tersebut agar tampil membantu suaminya.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini bolehlah menghubungi Wan menerusi talian 017-7208629.
SUMBER: SINAR HARIAN, 25 JANUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan