LEDANG 18 Jan. - Penggunaan efektif mikro organisma (EM) secara semburan merupakan cara terbaik menghentikan penyakit yang menyerang sawah padi di Kampung Sawah Ring, di sini, sejak lima musim lalu.
Pegawai Pertanian daerah, Abdullah Rashidi berkata, penggunaan EM iaitu sejenis bakteria melawan penyakit sudah terbukti berkesan untuk tempoh yang panjang, selain lebih murah.
"Pihak kami sudah nasihatkan petani dan pesawah di kampung terbabit supaya menggunakan EM tetapi tidak menggunakannya kerana mereka enggan mengeluarkan belanja dan mahukannya percuma.
"Sebenarnya kita sudah mengenal pasti jenis penyakit tersebut yang dipanggil karah sejak setahun lalu. Penyakit itu memang menyebabkan padi menjadi kosong dan hasil akan berkurangan. Selain EM, masih ada racun yang boleh digunakan untuk membasminya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas rungutan hampir 250 pesawah dari kampung itu, Khamis lalu yang mendakwa kerugian lebih separuh daripada pendapatan mereka apabila padi ditanam diserang sejenis penyakit mengakibatkan hasilnya berkurangan dengan mendadak sejak lebih setahun lalu.
Penyakit yang menyerang itu mengakibatkan isi padi terlerai dari tangkainya selain tidak mempunyai isi dan menjadi hampas apabila sampai masanya untuk dituai.
Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan meninjau kawasan yang didakwa diserang penyakit berkenaan, malah khidmat nasihat juga diberikan kepada pesawah berkenaan.
"Kita sudah menasihatkan mereka supaya menggunakan racun yang sesuai. Pelbagai jenis racun boleh dibeli sama ada daripada pihak swasta atau Lembaga Pertubuhan Peladang," katanya.
Menurutnya, pihak jabatan tidak membekalkan racun berkenaan secara percuma dan bantuan yang diberikan hanya khidmat nasihat serta cara-cara untuk mengatasi masalah itu.
Katanya, penyakit yang menyerang tanaman padi itu boleh dikawal tetapi bergantung kepada penggunaan racun, malah cara penggunaannya juga penting bagi memastikan kawalan sepenuhnya dapat dilakukan.
Beliau berkata, antara faktor lain penyakit karah mudah menyerang tanaman padi kerana benih hibrid jenis MR220CL yang digunakan kurang daya tahan penyakit.
"Bagaimanapun, kajian masih dilakukan mengenai daya tahan padi jenis ini tetapi pada masa ini kita syorkan mereka menggunakan racun yang sesuai. Penyakit ini bukannya wabak," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan