PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2012

DATUK NYARIS SERAH RM1.5J PADA PENIPU


TANGKAK: Seorang ahli perniagaan hartanah berstatus Datuk nyaris kerugian RM1.5 juta selepas didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM) di rumahnya di sini, pada malam Tahun Baru Cina lalu.

Ketika kejadian, ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Chia (bukan nama sebenar), 49, menikmati jamuan besar bersama keluarganya apabila seorang lelaki berusia 40-an dikenali sebagai Datuk Azhar Ahmad datang dengan kereta mewah.

Sejurus bertemu Chia, lelaki itu menunjukkan surat JPM menyatakan Chia dikenakan tahanan mengikut Ordinan Darurat dan mahu menahannya di depan keluarga.

Malu dengan keluarga, mangsa berbincang dengan lelaki itu yang kemudian meminta Chia menyerahkan RM3 juta bagi melepaskannya dan wang itu sumbangan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mangsa terkejut dengan jumlah diminta, merayu dikurangkan dan menghubungi rakannya untuk berbincang sebelum bersetuju menyerahkan RM1.5 juta.

Selepas persetujuan dicapai, mangsa menyerahkan RM30,000 sebelum berjanji melunaskan bakinya apabila mereka bertiga bertemu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang nanti.

Sumber berkata, selesai jamuan makan besar, lelaki itu membawa Chia dan rakannya ke IPD Ledang jam 3 pagi untuk menyambung perbincangan mereka.

"Ketika itu, Chia mula sangsi dengan dakwaan lelaki terbabit lalu meminta polis menyiasat dan lelaki berkenaan ditahan," katanya.

Polis yang memeriksa kereta digunakan suspek menemui pil Eramine 5, sepasang gari, sepucuk pistol disyaki palsu serta beberapa dokumen palsu ditandatangani Perdana Menteri.

Menyedari dia terpedaya, Chia membuat laporan polis.

Menurut sumber, Chia terbabit dalam perniagaan pembangunan hartanah dan baru seminggu mengenali Datuk Azhar selepas diperkenalkan seorang rakannya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris yang dihubungi enggan mengulas lanjut.

SUMBER: HARIAN METRO, 26 JANUARI 2012

Tiada ulasan: