LEDANG – Kegembiraan sepasang suami isteri untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga di kampung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Parit Bunga dekat sini, semalam.
Lebih malang lagi apabila isteri mangsa, Cheng Le Ping, 23, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala juga anggota badan yang lain.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu melibatkan kereta Perodua MyVi yang dinaiki mangsa dari arah Muar menghala ke Tangkak, manakala kereta Mercedes dari Tangkak menghala ke Muar.
Mangsa bersama suaminya dari Taman Sakeh Baru, Muar dalam perjalanan pulang ke kampung di Ledang.
Setiba di tempat kejadian dipercayai kereta mangsa cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi gagal dan hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan.
Ini menyebabkan kereta Mercedes dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.
Kereta Perodua MyVi remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang.
Pemandu kereta Mercedes dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dan suami mangsa pula patah kaki kanan.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222,” katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN, 23 JANUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan