PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2012

LEBIH RM1j BR1M DIAGIH KEPADA 2,087 PENERIMA


HAMIM Samuri (depan. tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada penerima BR1M DUN Tangkak di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, Johor, semalam.


LEDANG 18 Jan. - Lebih RM1 juta wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula diagihkan kepada 2,087 penerima dalam Parlimen Ledang bagi fasa pertama yang bermula hari ini.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, daripada jumlah itu 866 penerima adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, 561 penerima dari DUN Bukit Gambir, 556 penerima dari DUN Serom dan selebihnya penerima yang tinggal di luar daerah ini.

"BR1M akan diagihkan secara tiga peringkat bagi Parlimen Ledang. Bermula hari ini bagi DUN Tangkak diikuti DUN Bukit Gambir pada Jumaat ini dan DUN Serom pada Sabtu ini.

"Pengagihan bagi fasa pertama akan mengambil masa tiga bulan manakala fasa kedua dan ketiga masih lagi dalam proses," katanya selepas majlis penyampaian baucer BR1M di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini hari.

Beliau berkata, wang bantuan itu bukan untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi pelbagai bantuan, sumbangan dan insentif tanpa mengira musim pilihan raya kerana sedar kesusahan dan keperitan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

"Rakyat perlu tahu bahawa kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion untuk BR1M yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan semata-mata mahu membantu mereka," katanya.

Seorang penerima, Hong Tiam Hoo, 71, berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina beberapa hari lagi.

Bapa kepada lima anak yang tinggal di Taman Sentosa di sini juga akan menggunakan duit tersebut untuk membeli ubat bagi merawat penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi yang dihidapinya.

Hussein Mohamed, 70, dari Kampung Sialang, di sini pula bersyukur dengan pemberian RM500 itu yang meringankan beban untuk membeli ubat penyakit saraf yang dihidapinya sejak sedekad lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2012

Tiada ulasan: