LEDANG 25 Jan. - Taktik seorang penjenayah menggelarkan dirinya 'Datuk Azhar' untuk menipu seorang kontraktor binaan di Tangkak sebanyak RM3 juta terbongkar apabila tembelangnya pecah di balai polis, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, Ahad lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Chia, 49, didatangi suspek di rumahnya di Taman Tiara Tangkak kononnya untuk berbincang.
Suspek datang menaiki sebuah kereta Porsche dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk Azhar' berusia 42 tahun lalu menyatakan mangsa telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Darurat.
Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, suspek mengeluarkan satu waran dari sebuah jabatan kerajaan dan menyatakan Datuk Chia melakukan kesalahan dan meminta wang jika mahu kes itu diselesaikan.
"Suspek meminta wang RM3 juta dan Datuk Azhar mengatakan wang itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
"Bagaimanapun Datuk Chia meminta dikurangkan kerana jumlahnya terlalu tinggi dan melalui perbincangan bersama seorang rakan dikenali sebagai Datuk Er yang berada di rumah mangsa ketika itu, jumlah wang dikurangkan kepada RM1.5 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Setelah bersetuju dengan jumlah tersebut, suspek meminta wang pendahuluan RM30,000.
Mangsa bersetuju memberi wang pendahuluan itu kepada suspek dengan syarat penyerahan wang tersebut mesti dibuat di balai polis.
Sebaik sahaja tiba di balai polis, pembohongan suspek terbongkar dan pemeriksaan lanjut ke atas kereta Porsche, polis menemui dadah jenis Eramin 5, gari, pistol dipercayai tiruan dan dokumen daripada sebuah jabatan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JANUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan