Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
LEDANG: "Bagaikan gugur jantung mendengar dentuman seperti bom di luar rumah kami. Apabila dilihat, baru kami sedar sebuah lori bermuatan plastik terbabas ke halaman rumah," kata Muhaya Othman, 79, menceritakan kejadian lori terbabas lalu memasuki kawasan rumahnya di Batu 3 Jalan Kesang, di sini, kelmarin.
Muhaya berkata, dalam kejadian jam 10 malam, dia bersama keluarga berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat seperti letupan bom di luar rumahnya.
Menurutnya, keluarganya panik lalu segera lari ke bahagian belakang rumah untuk menyelamatkan diri.
"Sebaik terdengar dentuman itu, saya terus mendukung cucu ke dapur bagi menyelamatkan diri dan berlindung di dapur.
"Selepas yakin keadaan selamat, baru saya dan beberapa ahli keluarga memeriksa kawasan depan rumah untuk mengetahui punca bunyi kuat itu," katanya.
Menurutnya, sebaik keluar rumah, mereka terkejut apabila mendapati sebuah lori membawa plastik terbabas dan berada hanya beberapa meter dari bahagian depan rumahnya.
Katanya, mereka percaya lori itu terbabas selepas melanggar pembahagi jalan tidak jauh dari kediamannya.
Akibat rempuhan lori itu, pembahagi jalan di depan rumahnya musnah manakala sebahagian kecil bumbung rumahnya rosak.
"Apapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan berharap kejadian itu tidak berulang pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai membawa lori bermuatan plastik dalam perjalanan dari Bentong, Pahang menuju ke Sungai Buloh, Selangor.
Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, pemandu berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terlanggar pembahagi jalan di Batu 3, Jalan Kesang lalu terbabas ke halaman rumah penduduk kawasan itu.
Pemandu berkenaan yang tidak cedera kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang bagi membantu siasatan.
SUMBER: METRO AHAD, 15 JANUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan