PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2012

'DATUK' CUBA PERAS PEMAJU RM3 JUTA KENA BERKAS


TANGKAK: Cubaan penipu yang mendakwa berstatus Datuk, memeras wang tunai RM3 juta daripada seorang pemaju hartanah bergelar Datuk, berakhir apabila dia sebaliknya diperangkap mangsa hingga ditahan polis.

Helah penipu yang tampil dengan kereta mewah itu berakhir apabila ditahan polis selepas mangsa bersama seorang rakannya memperdaya suspek untuk mengikut mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di sini, kononnya bagi menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.5 juta dengan selamat.

Sebelum ditahan polis, penipu berstatus Datuk itu mengunjungi mangsa di rumahnya dekat Tangkak pada Ahad lalu, dengan menaiki sebuah kereta Porsche.

Sejurus bertemu, suspek mengemukakan dokumen dan surat kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendakwa mangsa akan ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Bimbang dan malu dengan ahli keluarganya, mangsa kemudian mengajak berbincang sebelum Datuk terbabit meminta mangsa menyerahkan RM3 juta jika mahu dilepaskan dan wang berkenaan dikatakan sebagai sumbangan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada kempen pilihan raya umum akan datang.

Mangsa yang terkejut dengan jumlah berkenaan meminta supaya dikurangkan sebelum menghubungi seorang rakannya untuk berbincang semula dan mereka bersetuju untuk menyerahkan RM1.5 juta kepada suspek.

Ketika persetujuan dicapai, mangsa menyerahkan RM30,000 kepada suspek sebelum berjanji melunaskan bakinya ketika mereka bertemu kembali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang tidak lama selepas itu.

Sumber berkata, suspek kemudian dibawa mangsa dan rakannya ke IPPD Ledang pada kira-kira jam 3 pagi Isnin untuk mengadakan perbincangan di sana.

"Dalam pada itu, mangsa mulai sangsi dengan kesahihan dakwaan suspek sebelum meminta polis IPPD Ledang membantu membuat pengesahan mengenai dakwaan lelaki terbabit," katanya.

Katanya, susulan maklumat yang disampaikan mangsa, suspek ditahan polis sebelum pemeriksaan lanjut dalam kereta mewah yang dipandunya menemui pil perangsang Erimin 5, gari, sepucuk pistol disyaki palsu serta beberapa dokumen palsu ditandatangani Perdana Menteri.

SUMBER: BERITA HARIAN, 26 JANUARI 2012

Tiada ulasan: