TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 Disember 2013

TAMAN REKREASI KESANG TERBIAR, KEMUDAHAN ROSAK

LEDANG 24 Dis. - Taman Rekreasi Kesang, dekat sini yang bersempadan dengan Sungai Rambai, Melaka dan dibina sejak lebih sedekad lalu dengan kos lebih RM1 juta kini terbiar dan tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.
Kawasan tersebut yang suatu masa dahulu 'hidup' dengan pelbagai aktiviti dan popular kerana menempatkan deretan kedai makan, gelanggang futsal dan replika beca gergasi sekarang ini seakan-akan sudah 'mati'.
Lebih menyedihkan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah serta tandasnya tidak boleh digunakan kerana rosak.
Seorang peniaga, Kimbong Osman, 60, berkata, sejak lapan tahun lalu dia menjadi peniaga tunggal gerai makanan di situ selepas 10 peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan masing-masing kerana tidak mendapat sambutan.
"Dahulu kawasan ini meriah dan ceria dengan kehadiran ramai pengunjung untuk beriadah pada petang hujung minggu dan cuti umum. Banyak kedai diusahakan termasuk kemudahan untuk karaoke.
"Namun, situasi itu hanya bertahan selama setahun dan lama kelamaan pusat ini terbiar tidak terurus serta berlaku banyak kerosakan pada kemudahan yang disediakan," katanya ketika ditemui di kedainya di taman tersebut, di sini semalam.
Setiap hari dia bersama suami berniaga nasi lemak bermula pukul 2 petang hingga 12 malam dan kebanyakan yang singgah ke gerainya adalah pelanggan tetap terdiri daripada penduduk berhampiran dan remaja yang bermain futsal di taman rekreasi itu.
"Saya pun hairan tempat ini susah nak membangun jika dibandingkan dengan medan selera di Sungai Rambai, Melaka yang terletak berhampiran dengan taman rekreasi ini, memang jauh bezanya kerana ramai pengunjung," katanya sambil mengakui sejak adanya gelanggang futsal setahun lalu bilangan pengunjung bertambah terutamanya golongan muda untuk beriadah pada waktu petang.
Seorang pengunjung, Mohd. Afiq Jaafar, 21, berkata, dia ke taman rekreasi tersebut setiap petang untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya.
"Kawasan ini perlu dibangunkan kerana penduduk sekitar tidak mempunyai tempat sesuai membawa anak-anak beriadah. Ada antara mereka terpaksa ke Taman Rekreasi Tanjung Emas, Muar kerana tiada pilihan lain," katanya.
Kakitangan swasta, Fauziah Rashid, 30, mengakui tidak menyangka keadaan Taman Rekreasi Kesang semakin teruk terutama berlaku banyak kerosakan terhadap kemudahan yang disediakan.
Justeru, dia berharap pihak yang berkaitan mencari jalan terbaik memajukan semula tempat riadah itu supaya dapat menarik semula kedatangan pengunjung.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2013

Tiada ulasan: