TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Disember 2013

CHORAL SPEAKING DAPAT TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA INGGERIS PELAJAR

LEDANG 27 Dis. - Lebih 10,000 pelajar dari 10 buah sekolah rendah dan 32 sekolah menengah di daerah ini akan diberi pendedahan pemantapan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) bermula tahun depan.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, kaedah yang digunakan adalah menerusi penganjuran program berbentuk pertandingan seperti choral speaking yang dilihat dapat membina keyakinan diri pelajar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang penting dan pelajar yang mampu menguasainya dengan baik mempunyai peluang masa depan yang lebih cerah.

"Memang setiap sekolah sudah ada program pertandingan sebegini tetapi kita mahu lakukan lebih kerap. Apabila pertandingan seperti ini dianjurkan mereka akan lebih bersedia dengan latihan dan akhirnya pelajar mahir dan fasih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian beg sekolah kepada pelajar miskin dan anak yatim sumbangan Nasmir Holdings Sdn. Bhd. dan Yayasan Pelajaran Mara anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang di Sekolah Kebangsaan Ledang di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, usaha itu perlu mendapat sokongan semua pihak supaya agenda kecemerlangan pendidikan di kawasan Parlimen berkenaan mencapai matlamatnya.

Menurutnya, secara keseluruhannya penguasaan Bahasa Inggeris pelajar di kawasan Parlimen tersebut masih berada pada tahap kurang memuaskan berdasarkan keputusan peperiksaan yang diumumkan.

"Hanya ada sekelompok kecil pelajar cemerlang dan mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Untuk itu kita bertekad mahu meramaikan kumpulan tersebut," katanya.

Mengenai program tersebut, Hamim berkata, seramai 850 pelajar miskin menerima sumbangan beg sekolah sebagai persediaan memulakan sesi baharu persekolahan tidak lama lagi.

"Ini fasa pertama dan sumbangan fasa seterusnya akan dibuat tidak lama lagi. Kita akan pastikan pelajar yang benar-benar memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

"Kita minta semua guru mengenal pasti pelajar yang telah menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) supaya dapat menerima bantuan tambahan sebagai galakan kepada mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 DISEMBER 2013

Tiada ulasan: