fahd@nstp.com.my
TANGKAK Polis menahan seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun bagi siasatan kes seorang bayi lelaki berusia 10 bulan lebam di dahi kiri, pendarahan di mata dan retak tempurung kepala, awal pagi tadi.
Suspek ditahan kira-kira jam 12.15 awal pagi tadi, bagi membantu kes bayi lelaki itu yang dirujuk ke Hospital Tangkak, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, terdahulu bayi berkenaan yang dipercayai diserang sawan dirujuk pengasuh ke hospital berkenaan kira-kira 8 malam dengan bantuan jirannya sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.
"Mangsa dijaga oleh suspek pada 28 hingga 30 Jun lalu dan pada 2 hingga 17 Julai lalu antara jam 8 pagi hingga 6 petang. Setiap Ahad mangsa dijaga oleh ibunya, manakala Jumaat dan Sabtu dijaga oleh bapa mangsa.
"Ibu bapa mangsa menyedari mangsa sering menangis dan susah tidur mulai 10 Julai lalu sebelum pengasuh mendakwa mangsa pernah dua kali terjatuh dari buaian sepanjang di bawah jagaannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa adalah anak tunggal pembantu penguatkuasa yang berusia 28 tahun, manakala ibunya yang berusia 22 tahun bekerja sebagai pembantu klinik pergigian.
"Setakat ini siasatan sedang giat dijalankan dengan mendapatkan keterangan daripada ibu bapa, ahli keluarga dan jiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan