MOHD Janis menunjukkan tanaman sawi di kebunnya yang tidak menjadi berikutan cuaca panas yang berpanjangan.
TANGKAK: Keadaan cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan pekebun sayur mengalami kerugian mencecah belasan ribu ringgit akibat pelbagai tanaman rosak kerana layu.
Seorang pekebun, Mohd Janis Abu Bakar, 62, berkata, sejak dua bulan lalu, pelbagai tanaman sayuran diusahakan di kawasan seluas 3.6 hektar miliknya di sekitar Parit Kassan di sini, tidak menjadi.
Katanya, ia dipercayai akibat kesan panas berpanjangan dan hujan yang kurang sejak awal Januari lalu.
“Sayur seperti sawi antara yang terjejas teruk dengan daunnya yang kekuningan serta kering, selain tanaman seperti peria katak, keladi, bendi, bayam, lada, kacang panjang selain pokok jagung,” katanya.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan seperti meletakkan siraman air bagi memastikan tanaman segar dengan menggunakan pam dari sumber air di Sungai Sagil berhampiran, namun gagal.
“Bukan kebun sayur sahaja rosak akibat kemarau namun pekebun memiliki kebun buah berkeluasan ratusan ekar terkesan kerana melawas (kurang penghasilan) selain hasil pengeluaran tidak berkualiti,” katanya.
Menurutnya, tiga tan tanaman sawinya musnah sejak musim kering, sedangkan sebelum ini ia mampu dipasarkan dengan harga borong RM2 setiap kilogram.
SUMBER: HARIAN METRO, RABU, 26 MAC 2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan