PENGUNJUNG SETIA

21 November 2019

10 KANAK-KANAK SERTAI KHATAN PERDANA SPARKS

Peserta Program Khatan Perdana SPARKS teruja disembur air oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir di dataran sekolah itu.

TANGKAK:  Menjelang cuti persekolahan yang panjang bermula esok, sudah pasti ia memberi peluang kepada ibu bapa untuk melaksanakan tanggungjawab mengkhatankan anak-anak mereka yang masih belum ‘masuk jawi’.

Sehubungan itu, pihak Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SPARKS) di sini, tidak ketinggalan mengadakan program berkhatan beramai-ramai yang menjadi tradisi sekolah sejak 2004.

Guru Besarnya, Mislinah Mesral berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertujuan membantu ibu bapa yang ingin mengkhatankan anak mereka secara beramai-ramai.

Katanya, menerusi program itu, seramai 10 orang kanak-kanak berusia antara enam dan 11 tahun mendaftar untuk berkhatan sempena cuti persekolahan ini.
Kanak-kanak SK Parit Kasan yang menyertai program berkhatan diarak oleh pasukan kompang SPARKS sambil didukung bapa mereka.

“Mereka teruja apabila diarak dengan paluan kompang oleh pasukan kompang SPARKS dan didokong oleh bapa mereka manakala detik menyeronokkan apabila mereka disembur air oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.

“Peserta termuda pada program kali ini ialah Muhammad Aqif Zahran Arizan berusia enam tahun,” katanya pada Program Khatan Perdana TS25 SPARKS, di sini.

Program itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar dan turut dihadiri Yang DiPertua PIBG, Mohd Najib Md Nasir.
 
Peserta berkhatan diraikan dalam majlis yang diadakan di Dataran SPARKS.

Mislinah berkata walaupun penyertaannya kurang namun sedikit sebanyak ia dapat memberikan semangat dan keyakinan kepada peserta supaya tidak berasa takut.

Katanya, peserta diraikan oleh pihak sekolah dan ibu bapa dan akan dikhatankan di Klinik Kesihatan Bukit Gambir pada cuti sekolah. - INFOLEDANG 21112019

Tiada ulasan: