PENGUNJUNG SETIA

24 November 2019

BERAPA EKOR SEMUT API GIGIT?

 Anggota bomba menyiram murid ketika program berkhatan di Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Tangkak.

Tangkak:  “Tak sakit, macam kena gigit semut api je,” itulah ayat paling popular diungkapkan kepada kanak-kanak yang mahu berkhatan bagi mengelak mereka berasa takut. 

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SPARKS), Mislinah Mesral berkata, sejajar perubahan zaman, kanak-kanak ketika ini lebih bijak bertanya soalan berapa ekor semut api yang akan menggigit hingga menggamatkan suasana majlis berkhatan semalam. 

Katanya, setiap musim cuti sekolah pengurusan sekolah itu akan memberi peluang kepada ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mengkhatankan anak masing-masing sejak 2004. 

Menurutnya, program itu hasil kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertujuan membantu ibu bapa yang ingin mengkhatankan anak secara beramai-ramai selain menjimatkan kos. 

“Menerusi program ini, seramai 10 kanak-kanak berusia antara enam hingga11 tahun mendaftar untuk berkhatan sempena cuti persekolahan ini. 

“Mereka teruja apabila diarak dengan paluan kompang oleh pasukan kompang SPARKS dan didukung bapa masing-masing sebelum disembur air oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Gambir. 

“Peserta termuda program ini adalah Muhammad Aqif Zahran Arizan, enam tahun. Dia kelihatan tenang sepanjang majlis,” katanya pada Program Khatan Perdana TS25 SPARKS, semalam.
Peserta berkhatan dibawa berarak.

Program disempurnakan Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar dan turut dihadiri Yang DiPertua PIBG, Mohd Najib Md Nasir. 

Mislinah berkata, walaupun tidak semeriah sebelum ini tetapi ia sedikit sebanyak memberikan semangat dan keyakinan kepada peserta supaya tidak berasa takut. 

“Ayat tak sakit macam kena gigit semut api adalah pendekatan paling popular digunakan sejak zaman-berzaman bertujuan mengelak kanak-kanak itu takut. 

“Namun sejajar perubahan zaman, ada di antara murid yang nakal dan bertanya kepada ibu bapa masing-masing berapa ekor semut api yang mengigit,” katanya.

Tiada ulasan: