PAGOH 6 Nov. - Seramai 210 penuntut dan kakitangan Kolej Kemahiran
Tinggi Mara (KKTM) Ledang menyertai kerja sukarela membaiki rumah,
masjid dan balai raya serta membersih tanah perkuburan di tujuh buah
kampung, di sini baru-baru ini.
Aktiviti kesukarelaan itu merupakan sebahagian pengisian sempena
Karnival Pendidikan dan Keusahawan Johor 2012 yang diadakan selama tiga
hari di Kompleks Sukan Pagoh, di sini.
Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi berkata, aktiviti
selama lapan hari itu melibatkan kampung Selancar, Olak Sepam, Semeriut,
Sri Makmur, Panjang Sari, Sungai Terap dan Liang Batu.
"Kumpulan sukarelawan berkenaan membaiki dinding dan lantai rumah
yang rosak selain mengecat dindingnya. Mereka turut membaiki bilik air
dan membina tandas baharu selain menggantikan atap rumah yang rosak.
"Kita turut mengecat pagar dan bangunan balai raya. Mereka juga
membersih serta mengecat masjid, membersihkan tanah perkuburan Islam
selain bergotong-royong memasak bersama penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan penuntut
dengan aktiviti kemasyarakatan, menanam sifat patriotik, prihatin dan
bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Selain itu tambahnya, program tersebut juga bertujuan mewujudkan
budaya saling membantu, merapatkan hubungan antara KKTM Ledang dengan
masyarakat setempat.
"Program ini menunjukkan budaya saling membantu masih kuat dalam
kalangan masyarakat. Kita amat berbesar hati dengan sambutan yang
diberikan penduduk kampung terlibat dan berharap program seperti ini
dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Olak Sepam, Salleh Taha berterima
kasih dan menghargai sumbangan serta bantuan diberikan penuntut dan
kakitangan KKMT Ledang kerana aktiviti tersebut dapat membantu penduduk
yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, sumbangan dan bantuan yang dihulurkan amat besar maknanya dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan