PENGUNJUNG SETIA

28 November 2012

BENDERA DIRAJA JOHOR DITURUNKAN


UPACARA menurunkan Bendera Diraja Johor dilakukan setelah berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam. 
MUAR 27 Nov. - Bendera Diraja Johor diturunkan secara rasmi hari ini sempena berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam di bandar ini yang berakhir semalam.

Upacara penurunan bendera disempurnakan oleh Pegawai Daerah, Abdul Rahman Mohamed Dewam di Dataran Tanjung Emas pada pukul 10.35 pagi ini dan sejurus itu bacaan doa disempurnakan Kadi Daerah, Dzulkafle Mohamed.

Yang turut hadir Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas.

Bendera itu yang dinaikkan Isnin lalu adalah simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan dan merupakan upacara dan adat istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan.

Sementara itu, Abdul Rahman melahirkan kesyukuran kerana sambutan berlangsung dengan lancar dan lebih menggembirakan apabila mendapat pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang amat berkenan dengan semua acara.

"Tuanku sangat suka dengan acara yang berlangsung terutama di atas Jambatan Sultan Ismail iaitu persembahan bot berhias dan pertunjukan bunga api. Baginda mengatakan sambutan hari keputeraannya kali ini paling menarik dan meriah pernah diadakan dalam hidupnya.

"Pujian tuanku tentang sambutan tersebut menandakan kejayaan banyak pihak terutamanya jawatankuasa yang bertungkus lumus bekerja membuat persiapan sambutan lebih sebulan lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada pihak media cetak dan elektronik yang memberikan kerjasama dan liputan meluas sepanjang program tersebut yang julung kalinya diadakan di daerah ini.

Tentang cadangan Sultan Ibrahim untuk menjadikan program di atas jambatan sebagai acara tahunan daerah ini, Abdul Rahman berkata, Pejabat Daerah sangat mengalu-alukan dan berbesar hati menerimanya.

"Ini satu penghormatan kepada daerah ini khususnya kepada rakyat selepas diisytiharkan sebagai Bandar Diraja secara rasminya oleh tuanku pada Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nasir mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang berlangsungnya sambutan tersebut.

"Daripada segi laluan tidak dinafikan berlakunya kesesakan. Kita tidak dapat menjamin kelicinan laluan 100 peratus kerana terlalu banyak kenderaan pada masa itu tetapi kerjasama mereka memudahkan semua urusan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: