MUAR 21 Nov. - Mercu tanda di bulatan Sulaiman,
di bandar ini yang dibina sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor
dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan kos lebih RM1
juta dibuka kepada umum sepenuhnya hari ini.
Monumen itu yang mempunyai identiti tersendiri dengan empat gading
gajah gergasi di setiap sudut dan mahkota di bahagian atasnya mula
dibina kira-kira dua bulan lalu di kawasan strategik iaitu di
tengah-tengah bandar ini.
Binaan yang begitu signifikan itu mendapat pembiayaan sepenuhnya
daripada kerajaan negeri dan dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, air
pancut, landskap dan lampu warna warni yang mencantikkan lagi bandar ini
pada waktu malam.
Bulatan di mercu tanda itu dapat menghubungkan lima jalan utama di
bandar ini iaitu Jalan Arab, Jalan Khalidi, Jalan Ibrahim, Jalan
Sulaiman dan Jalan Temenggong Ahmad.
Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli
berkata, penggunaan gading gajah dan mahkota sebagai identiti mercu
tanda itu sebenarnya melambangkan keistimewaan negeri ini selain
pengaruh Kesultanan Johor.
"Mercu tanda tersebut menggunakan empat gading gajah bagi
melambangkan negeri ini suatu masa dahulu mempunyai bilangan gajah dan
binatang liar yang banyak semasa Sultan Abu Bakar membuka negeri ini
yang mulanya hutan belantara.
"Sebab itu kita juga gunakan gading gajah di Istana Besar (di Johor
Bahru), ini adalah tradisi Johor. Gajah adalah binatang yang kuat dan
perkasa, jadi ia adalah simbolik yang melambangkan kekuatan dan
keagungan," katanya.
Abdul Rahim berkata, pemilihan mahkota di atas mercu tanda tersebut
kerana Kesultanan Johor merupakan yang pertama mempunyai mahkota sendiri
berbanding kesultanan Melayu yang lain.
Beliau memberitahu, negeri ini mula mempunyai mahkota pada 1886 yang
ketika itu direka khas di London dan Kesultanan Johor menempa sejarah
tersendiri dengan memilikinya.
Sementara itu, sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan
Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam
bermula malam ini dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran di Masjid
Jamek Sultan Ibrahim, di sini.
Sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, majlis pengurniaan
bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan
Ibrahim, di sini esok iaitu yang pertama kalinya diadakan di luar Istana
Besar di Johor Bahru sejak 125 tahun lalu.
Perisytiharan bandar Muar sebagai Bandar Diraja pula akan dilakukan
di Dataran Tanjung Emas, Sabtu ini dan sepanjang lima hari itu pelbagai
acara serta program menarik disediakan yang dijangka menarik lebih
100,000 pengunjung.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan