PENGUNJUNG SETIA

01 November 2012

KURSUS ETIKET GALAK BUDI BAHASA

 Kakitangan MDT mendengar penerangan secara teori ketika mengikuti Kursus Etiket dan Protokol di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. 
 [ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH ]

Ledang: Penjawat awam yang berurusan dengan penganjuran pelbagai program tidak dapat lari daripada berbudi bahasa dan mematuhi protokol bagi memastikan kesempurnaan majlis yang dikendalikan.

Sehubungan itu, Majlis Daerah Tangkak (MDT) menganjurkan Kursus Etiket dan Protokol yang disertai 50 kakitangan dan pegawainya di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, dekat sini.

Setiausaha MDT, Mohd Hafiz Aliman, berkata kursus itu bagi memenuhi keperluan latihan jabatan, selain menambah pengetahuan kakitangan berkaitan budi bahasa dan protokol.

Ikut protokol

Katanya, kursus itu dikendalikan penceramah dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Fahmy Yahya yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

“Menerusi kursus ini, peserta diberi ceramah secara teori dan praktikal bagi menunjukkan situasi sebenar dalam mengendalikan majlis rasmi atau keramaian yang membabitkan orang kenamaan.

“Peserta diberi tunjuk ajar mengenai kedudukan sebenar dan sepatutnya mengikut protokol berkaitan cara duduk, berpakaian, tata hias, adab makan dan perbualan dalam sesuatu majlis formal serta penuh istiadat,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, daerah itu sering menjadi lokasi bagi mengadakan program rasmi, yang dihadiri orang kenamaan, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Othman.

Katanya, setiap kakitangan MDT perlu mempelajari dan mempunyai pengetahuan berkaitan istiadat dan protokol bagi memudahkan mereka serta tidak kekok apabila terbabit dengan pengendalian majlis keramaian.

Program tahunan

Beliau berkata, memandangkan tindak balas baik yang diterima dari peserta kursus, MDT bercadang
menjadikannya sebagai program tahunan.

SUMBER: BH JOHOR, 01 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: