LEDANG 23 Nov. - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke
atas seorang wanita apabila terselamat selepas kereta dipandunya
terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Kilometer 8, Lebuh Raya Ayer
Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat Tanjung Gading di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang di kawasan sempadan antara
daerah ini dan Melaka, mangsa, Ainul Ashikin Ismail, 26, hanya mengalami
kecederaan di bahu meskipun kereta Perodua Viva dipandunya remuk teruk.
Mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk
menerima rawatan lanjut selepas dikeluarkan oleh pihak bomba.
Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang dari Melaka ke rumahnya di Muar.
Seorang saksi, Daud Yusof, 53, berkata, kira-kira 10 minit
sebelum kejadian, kereta mangsa memotong motosikal ditungganginya yang
dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan di
pekan Sungai Rambai, Melaka.
Menurutnya, pada jarak 20 meter dia terlihat Perodua Viva itu hilang
kawalan lalu merempuh tembok jalan sebelum melanggar tiang lampu
elektrik.
"Saya memecut motosikal ke tempat kejadian dan terkejut melihat
kereta tersebut terbalik dan pemandunya tersepit sambil menahan
kesakitan.
"Penduduk kampung yang menyedari kemalangan ini cuba membantu
mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi tidak berjaya kerana kereta
tersebut berkedudukan terbalik," katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, sebanyak 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
Pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dikejarkan ke hospital.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan