PENGUNJUNG SETIA

26 November 2012

SULTAN JOHOR MELAWAT PAMERAN KERETA MEWAH


SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menyaksikan himpunan kereta mewah 'supercars' sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam.

MUAR 25 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan himpunan kereta mewah 'supercars' di Dataran Tanjung Emas di sini sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang masuk hari keempat hari ini.

Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk melihat dengan lebih dekat 130 kereta mewah tersebut yang didatangkan khusus dari seluruh negara sempena sambutan julung kali diadakan itu.

Kira-kira 50 kereta Ferrari pelbagai model, 30 Porsche dan selebihnya Lamborghini, Bentley dan Lotus dipamerkan di tempat letak kereta bersebelahan Menara Jam Tanjung Emas itu.

Turut mengiringi baginda adalah puteranya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan keberangkatan kerabat diraja Johor itu dinantikan pengunjung sejak pukul 11 pagi lagi bagi melihat sendiri kenderaan yang berharga jutaan ringgit itu.

Sementara itu, pelbagai acara dan program diteruskan sempena sambutan itu antaranya pertandingan bola sepak dan bola jaring di Stadium Sultan Ibrahim, pertandingan futsal dan pertandingan memasak di Dataran Tanjung Emas.

Kejohanan Jet Ski Antarabangsa 2012 pula di Sungai Muar yang bermula kelmarin diteruskan hari ini dengan melibatkan 50 peserta dengan 15 daripadanya peserta luar negara.

Pengarahnya, Datuk Saffian Omar berkata, peserta luar negara adalah dari Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand serta Jepun dan kejohanan yang melibatkan lima kategori itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM60,000 termasuk trofi.

"Menariknya kejohanan yang julung kalinya diadakan di negeri ini melibatkan enam peserta wanita iaitu empat Indonesia dan seorang masing-masing dari Jepun dan Thailand," katanya.

Pada sebelah petangnya pula, kira-kira 600 peserta dilepaskan untuk acara Larian Hari Keputeraan 2012 di Dataran Tanjung Emas yang menawarkan lima kategori membabitkan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki, Pelajar Lelaki serta Pelajar Wanita.

Penyelaras Sukan Daerah Muar, Hedzir A. Shukor berkata, larian dianjurkan Majlis Sukan Negeri yang melibatkan peserta dari 10 daerah di negeri ini amat berbeza kerana pertama kalinya diadakan di bandar ini kerana sebelumnya hanya diadakan di Johor Bahru.

Beliau berkata, acara Terbuka Lelaki sejauh 10 kilometer menawarkan hadiah tempat pertama RM500, kedua (RM450), ketiga (RM400), keempat (RM350) dan seterusnya masing-masing RM300, RM250 dan RM200 untuk tempat kelima hingga ketujuh, semua peserta diberi sijil.

Bagi Terbuka Wanita, hadiah yang sama ditawarkan sementara acara Veteran Lelaki 7km menawarkan hadiah utama RM400 manakala acara Pelajar Lelaki dan Pelajar Wanita menawarkan wang tunai RM300 untuk setiap pemenang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: