PENGUNJUNG SETIA

21 November 2012

MUAR TERUJA SAMBUT HARI KEPUTERAAN, PENGISYTIHARAN BANDAR DIRAJA


JALAN Arab di Bandar Muar ditutup untuk Majlis Memeriksa Barisan Kehormat dan Tabik Hormat Diraja sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja Khamis ini. 
MUAR 20 Nov. - Malam esok akan bermulanya sambutan penuh bersejarah Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang amat dinantikan seluruh rakyat Johor terutamanya penduduk Muar.

Detik bersejarah itu semakin dirasai terutama melibatkan lokasi-lokasi yang menjadi tapak utama sambutan tersebut, antaranya Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Ibrahim, Jambatan Sultan Ismail dan Masjid Jamek Sultan Ibrahim.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati pemilik-pemilik bangunan dan kedai sudah mula mengibarkan bendera termasuk membuat persiapan akhir dengan mengecat dan membersihkan pekarangan premis masing-masing.

Selain itu, kain rentang sempena Hari Keputeraan dan Majlis Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja, papan tanda penutupan jalan dan bendera negeri sudah dipasang termasuk di pinggir bandar yang boleh dikatakan hampir 95 peratus siap.

Seorang penduduk, Rosnah Sahat, 50, teruja dengan wajah baharu bandar ini yang seolah-olah memberikan sinar dan harapan bahawa daerah ini bakal mengalami transformasi pesat sejajar dengan gelaran Bandar Diraja.

"Penduduk Muar merasa ini satu penghormatan besar kerana dipilih oleh baginda untuk meraikan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam di bandar ini.

"Pujian harus diberi kepada semua pihak yang bekerja keras dan terlibat menjayakan sambutan ini terutama Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi, Som Awak, 58, acara sambutan itu memberikan peluang kepada rakyat untuk mendekati baginda dan terharu dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengangkat martabat bandar ini sebagai Bandar Diraja.

"Semoga acara sambutan akan berjalan dengan lancar dan saya doakan cuaca kekal elok bagi membolehkan penduduk Muar keluar beramai-ramai untuk menyaksikan peristiwa bersejarah ini," katanya.

Peniaga, Rowena Chan, 40, berkata, dia tidak sabar untuk meraikan hari bersejarah itu kerana pertama kali diadakan selama lima hari lima malam dengan pelbagai acara menarik.
Kata pengusaha barangan kelengkapan perkahwinan itu lagi, sebagai tanda sokongan, premisnya turut dicat baharu sebaik saja dimaklumkan oleh pihak MPM walaupun perlu membiayai sendiri kosnya.

Dengan cara itu dia berpuas hati kerana dapat menyumbang sesuatu untuk majlis sambutan berkenaan dan menyifatkan gelaran 'bandar pencen' tidak akan relevan lagi selepas ini kerana rata-rata bangunannya sudah dicat sekali gus ceria berwajah baharu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: