MUAR 23 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar berkenan merasmikan Masjid Al-Ikhsan di Batu 18, Air
Hitam, Bukit Naning, dekat sini hari ini sempena hari kedua sambutan
keputeraan baginda dan pengisytiharan Bandar Maharani sebagai Bandar
Diraja di bandar ini.
Baginda merasmikan masjid berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat
sambil disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim;
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali.
Yang turut berangkat, tiga putera baginda iaitu Tunku Temenggong,
Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku
Putera, Tunku Abu Bakar.
Sementara itu, Abdullah ketika ditemui berkata, masjid tersebut mula
dibina pada Mac tahun lalu dan siap sepenuhnya Julai lepas dengan kos
RM2.245 juta iaitu RM1.925 juta disumbangkan oleh Kerajaan Pusat
manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, Masjid Al-Ikhsan merupakan masjid kedua daripada enam
masjid baru yang dibina di kawasan DUN Bukit Naning, selain di Batu 3,
Batu 6, Batu 16 dan Batu 20 yang kesemuanya jaraknya tidak jauh antara
satu sama lain.
"Masjid Al-Ikhsan boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah dalam
satu-satu masa dan pembinaannya bagi menggantikan masjid sebelum ini
yang sudah lama dan tidak mampu menampung kapasiti jemaah sekarang,"
katanya.
Beliau berharap penduduk setempat mengimarah dan menjaga kebersihan
masjid berkenaan kerana sebelum ini tahap kebersihannya tidak memuaskan,
selain tidak meletakkan peranan serta tanggungjawab menjaganya di atas
bahu pihak pengurusan masjid sahaja.
Imam 1 masjid berkenaan, Sarongi Bardi dalam khutbah Jumaatnya
menyeru umat Islam di kawasan tersebut supaya bersatu padu dan
bersama-sama memakmurkan rumah ibadat berkenaan dengan aktiviti
keagamaan dan ibadah.
"Tiada gunanya sebuah masjid yang cantik dan mahal tetapi umat Islam
bercakaran sesama sendiri. Jangan ada perpecahan sesama umat Islam, kita
mesti berdiri atas dasar takwa untuk sama-sama mengimarahkan masjid.
"Kebersihan juga adalah penting kerana salah satu contoh takwa. Kita
mesti bersih lahir dan batin serta menjadi tanggungjawab kariah untuk
mengambil berat hal-hal masjid dan membina kasih sayang di rumah ibadat
ini," katanya.
Seorang jemaah, Rosli Tumiran, 42, dari Kampung Parit Karim
terharu kerana Sultan Johor berkenan merasmikan masjid tersebut dan
merupakan satu penghormatan serta menjadi sejarah bagi kawasan
berkenaan.
Rakannya, Azam Aidil, 39, dari kampung yang sama turut gembira
dan berharap masjid berkenaan akan menjadi medan mengukuh perpaduan
umat Islam sedia ada dan disemarakkan dengan pelbagai kegiatan
keagamaan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan