MUAR 22 Nov. - Lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan
masyarakat menghadiri majlis jamuan teh sempena Hari Keputeraan Sultan
Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Stadium Sultan
Ibrahim, di sini hari ini.
Sambutan Hari Keputeraan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ke-54
itu merupakan kali pertama diadakan di daerah ini dalam suasana penuh
meriah dan besar-besaran sebelum disambut di 10 daerah lain di negeri
ini.
Sultan Ibrahim yang tiba di pekarangan stadium tersebut kira-kira
pukul 3 petang disambut isterinya, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan
lima anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku
Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan
Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.
Turut berkenan berangkat, bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Turut menyambut baginda ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani
Othman, isterinya, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin dan isteri
Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.
Baginda kemudian memotong kek hari keputeraan selepas doa dibacakan
Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin dan selepas itu dihiburkan
dengan persembahan kebudayaan serta artis-artis jemputan yang
kebanyakannya anak kelahiran Johor sendiri.
Sultan Ibrahim turut mencemar duli bersalaman dan beramah-mesra
dengan orang ramai dengan berjalan ke beberapa khemah selama kira-kira
20 minit sebelum santap bersama tetamu-tetamu kenamaan di khemah utama.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Najib Samad, 32, dari
Tanjung Agas di sini, teruja kerana sambutan keputeraan baginda kali ini
disambut di daerah ini dalam acara penuh gemilang selama lima hari lima
malam.
Bapa kepada dua anak yang bekerja di Hospital Pakar Sultanah Fatimah
(HPSF) itu berkata, sambutan tersebut satu penghormatan yang besar bagi
penduduk Muar dan dapat mendekatkan lagi Sultan Johor dengan rakyat.
"Sambutan ini sangat bersejarah kerana hubung kait Muar dengan
Kesultanan Johor bukan sesuatu yang baharu. Kalau kita rujuk kembali
sejarah Muar dan bagaimana kawasan ini mendapat gelaran Bandar Maharani,
memang wajarlah Muar mendapat gelaran Bandar Diraja," katanya ketika
ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Halim Ahmad, 42, dari Jalan Salleh pula berkata,
majlis hari ini dapat mendedah dan memperlihatkan cara sambutan diraja
yang sebelum ini hanya disambut di Istana Besar di Johor Bahru tanpa
penglibatan rakyat.
Bapa kepada empat anak yang bekerja sebagai pengarah di sebuah
syarikat swasta itu berkata, sambutan seumpama itu perlu dilakukan saban
tahun sekali gus mengangkat martabat bandar ini yang sebelum ini agak
ketinggalan.
Seorang lagi penduduk, Eliza Abdul Kadir, 51, dari Jalan Daud dekat
sini, pula menyifatkan sambutan itu dapat mengubah gelaran bandar ini
sebagai 'bandar pencen' atau 'bandar tidur' kerana perhatian yang lebih
akan diberikan untuk bandar Muar selepas ini.
Terdahulu sebelum Majlis Jamuan Teh, Sultan Johor mencemar duli
berangkat ke Majlis Memeriksa Barisan Kehormat dan Tabik Hormat Diraja
di Jalan Arab sebelum berangkat ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim
untuk Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Triman dan Menghadap Takzim serta
Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat sebelum Santapan Diraja.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan