Muar 25 Nov. - Pegawai Daerah, Abdul Rahman Mohamed Dewam menunjukkan
kebolehan memasak Asam Pedas Johor pada Pertandingan Memasak Selera
Johor sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan
Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.
Aksi Abdul Rahman yang ditemani isterinya, Sabariah Mohd. Sharif
memeriahkan lagi pertandingan tersebut yang dikendalikan selebriti serba
boleh, Jaafar Onn dan penyanyi popular 90-an, Maya.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah, Norlian Mohktar
berkata, pihaknya meminta pasangan itu memasak Asam Pedas Johor sebagai
simbolik perasmian pertandingan tersebut yang berlangsung selama dua
jam.
"Pertandingan ini dianjurkan Pejabat Daerah Muar bersama Kemas daerah
dan disertai 100 peserta yang terdiri daripada 40 pasukan berpasangan
dan 20 individu daripada kalangan penduduk sekitar daerah ini.
"Tiga menu yang dipertandingkan iaitu Asam Pedas Johor, Ayam Ungkep
dan Kuih Talam Keladi. Pemilihan tiga menu ini kerana popular dalam
kalangan rakyat Johor terutama asam pedas," katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan
Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Pengarah Kemas Negeri
Johor, Taufik Mohd. Yusof dan Pegawai Khas Menteri Besar Bagi Kawasan
Dewan Undangan Negeri Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh.
Sementara itu, pengadil pertandingan itu, Siti Zarina Lahuri berkata,
Asam pedas Johor agak unik dan berbeza dengan negeri lain kerana menu
tersebut perlu menggunakan biji halba, bunga kantan, daun kesum, kunyit
hidup dan air asam jawa.
"Kesemua bahan ini perlu digunakan untuk mendapatkan keaslian dan
keenakan sebenar Asam Pedas Johor. Kuah Asam Pedas Johor juga tidak
boleh terlalu pekat atau cair dan perlu menggunakan ikan segar supaya
keenakannya tidak terjejas," katanya.
Selain itu, pemenang tempat pertama bagi kategori Asam Pedas Johor
ialah Rohani Jamil dan Aminah Md. Yassin; kategori Ayam Ungkep (Norlini
Abd. Sani dan Norliana Yahya) manakala kategori Kuih Talam Keladi (Indah
Hassan).
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan