AHLI Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja Syarikat Mohd. Janis Sdn. Bhd.
bersama-sama sepanduk yang memenangi pertandingan sepanduk tercantik sempena
Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat daerah Ledang, baru-baru ini.
LEDANG 10 Sept. - Pengorbanan selama tiga malam berturut-turut
bersengkang mata menyiapkan sepanduk sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat
daerah Ledang akhirnya berbaloi apabila Kelab Sosial dan Kebajikan Pekerja
(Kesokep) Mohd. Janis Sdn. Bhd. (MJSB) dinobatkan sebagai pemenang.
Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga MJSB
menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah bagi
kategori swasta.
"Kami sepakat menyertai pertandingan sepanduk yang diadakan kali ini dengan
melukis dan mewarna secara bergotong-royong selama tiga malam. Sebelum ini, kami
menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah.
"Memandangkan pemenang sepanduk tercantik tahun sebelum ini menggunakan
kreativiti melukis dan mewarna d serta dapat menarik perhatian, kami mencubanya
pula tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Hari
Kemerdekaan Kali Ke-57 peringkat daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak di
sini baru-baru ini.
Yazali berkata, kemenangan itu merupakan 'hadiah' kepada Pengarah Urusan
MJSB, Mohd. Janis Abu Bakar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 tahun
ini.
Dengan kemenangan itu, pasukannya membawa hadiah RM300 dan trofi yang
disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R.
Vidyanathan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tempat kedua kategori itu dimenangi Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang,
manakala Pejabat Daerah Ledang meraih tempat ketiga.
Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Kontinjen Perbarisan Terbaik,
Pakaian Terbaik dan Kibaran Jalur Gemilang Tercantik di halaman rumah serta
premis.
Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan negeri (DUN)
Serom muncul johan Pertandingan Perbarisan Terbaik, Pejabat Tanah Ledang
(Pakaian Terbaik) dan Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang
(Halaman Premis Terbaik) dan Lewan Basman dari Kampung Sagil Parit 1 (Halaman
Rumah Terbaik).
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat;
ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPTEMBER 2014