Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (dua kiri) menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Md Noh Nahar sambil diperhatikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin (kiri)pada majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. Foto: iNFOLEDANG
Ledang: Seramai 777
orang menerima baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 bagi daerah Ledang
merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu.
Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata penerima
baucer berkenaan sebahagian daripada lebih 3,000 penerima bantuan itu tahun ini
manakala selebihnya menerima bayaran menerusi akaun bank masing-masing.
Katanya, pemberian
BR1M itu meliputi penerima bujang, isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan
isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000.
“Seramai 278
individu bujang menerima RM350 yang dibayar sekali iaitu 41 orang bagi DUN
Gambir, 78 (DUN Tangkak), 118 (DUN Serom) dan 41 (DUN Bukit Serampang).
“Bagi kategori
penerima RM300 pula, seramai 484 orang terdiri daripada 163 penerima dari DUN
Gambir, 147 (DUN Tangkak) dan 174 (DUN Serom) manakala penerima RM200 pula
seramai 15 orang yang masing-masing 2 dari DUN Gambir, 7 (DUN Tangkak), 4 (DUN
Serom) dan 2 (DUN Bukit Serampang),” katanya selepas merasmikan majlis
Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi
Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.
Hadir sama, Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat dan Pegawai Daerah
Ledang, Ab Han Ramin.
Hamim yang juga
Ahli Parlimen Ledang berkata, pembayaran BR1M kepada penerima menunjukkan
keikhlasan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan sebagaimana dibentangkan
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Bajet 2015 yang
lalu.
Katanya, walaupun
kerajaan telah bersetuju meneruskan pemberian BR1M namun ada sesetengah pihak
yang tidak bersetuju memusingkan fakta mengatakan terdapat agenda lain di
sebalik pemberian bantuan tersebut.
Penerima BR1M
kategori bujang, Zainal Abdullah, 54, dari Kampung Solok, Tangkak bersyukur
dengan bantuan RM350 yang diterima dan berharap pada masa akan datang ia dapat
ditambah bagi meringankan beban penerima.
Katanya, pemberian
itu kali kedua buatnya dan beliau menerima baucer berikutan akaun bank
kepunyaannya tidak aktif.
Adiknya, Nodin
Abdullah, 49, yang tidak mampu berjalan berikutan penyakit gout yang
dihidapinya sejak setahun lalu berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan
bantuan itu lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan seperti beliau yang
tidak mampu membuat sebarang pekerjaan.
Bagi Md Noh Nahar,
58, dari Bukit Gambir, berkata walaupun pemberian BR1M bagi kategori isi rumah
dibuat sebanyak tiga kali namun beliau bersyukur dengan bantuan itu yang dapat
meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah. -iNFOLEDANG