PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2014

33 PASUKAN SERTAI BOLA SEPAK SEMBILAN SEBELAH


Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Sebanyak 33 pasukan menyertai perlawanan bola sepak sembilan sebelah sempena program Rentap Bola anjuran Pemuda UMNO Bahagian Ledang di padang Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, di sini, baru-baru ini.

Daripada jumlah ini, sebanyak 14 pasukan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, manakala DUN Gambir (10) dan DUN Tangkak (9).

Ledang Warrior B

Dalam perlawanan akhir, pasukan Ledang Warrior B muncul juara selepas menewaskan Padang Lalang FC.

Kemenangan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala manakala lawannya itu, menerima wang tunai RM700 dan medal.

Tempat ketiga pula menjadi milik Pemuda Sungai Mati FC untuk menerima wang tunai RM400 dan medal.

Pertandingan ini dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri, manakala hadiah kepada pemenang disampaikan Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, Mohammad Abu Bakar.

Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani, berkata pertandingan itu adalah sebahagian daripada aktiviti dalam program Cabaran Aspirasi Pemuda UMNO Ledang bagi mendekatkan kepimpinan parti itu dengan golongan muda di peringkat akar umbi.

Selain itu, katanya, ia juga bagi memenuhi cita rasa golongan muda dalam bidang sukan, menerusi cabaran Rentap Bola.

"Kita percaya menerusi pertandingan ini, pemain berpotensi boleh diketengahkan untuk mewakili daerah pada pertandingan peringkat negeri," katanya.

SUMBER: BH SUKAN, 13 JANUARI 2014

Tiada ulasan: