JOHOR BAHRU 13 Jan. - Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang mengaku
tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima
pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,500 kepada Jabatan
Penerangan negeri, enam tahun lalu.
Zaid Md. Amin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan
terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim
Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Pesara kerajaan itu didakwa memperdayakan Jabatan Penerangan negeri
dengan membuat pesanan kerajaan bagi perkhidmatan penyediaan makan dan
minum Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pejabat Daerah Ledang pada 18
Mei dan 4 Ogos 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama
yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak
kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000.
Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan
seorang penjamin dan menetapkan 3 Februari ini pengurusan kes
tersebut. - UTUSAN ONLINE
SUMBER: UTUSAN ONLINE, 13 JANUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan