PENGUNJUNG SETIA

24 Januari 2014

MUHYIDDIN RASMI PLAZA TOL BUKIT GAMBIR ESOK

LEDANG 23 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual merasmikan Plaza Tol Bukit Gambir yang dibina dengan kos kira-kira RM80 juta, Sabtu ini.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan berkata, plaza tol itu akan menjadi mercu tanda dan memberi kesan terhadap ekonomi di Bukit Gambir yang sedang membangun dengan pelbagai kemudahan serta pembinaan prasarana baharu.
 
Beliau berkata, menerusi plaza tol tersebut yang mula dibina pada Ogos 2010, pengguna lebuh raya dapat menjimatkan masa perjalanan sama ada ke utara atau selatan tanpa perlu melalui Plaza Tol Tangkak atau Pagoh.
 
"Terdapat lapan kaunter iaitu masing-masing empat untuk keluar masuk ke lebuh raya dan tol ini akan beroperasi bermula pukul 6 pagi, Ahad ini. Antara keistimewaan Tol Bukit Gambir adalah mempunyai ruang legar dengan 14 tempat duduk.
 
"Kemudahan lain seperti tandas dan surau yang besar juga terdapat di tol ini yang boleh memuatkan tiga buah bas dan lebih 30 tempat letak kereta," katanya selepas membuat tinjauan persiapan majlis tersebut hari ini.
 
Beliau berkata, seramai 20 kakitangan akan ditempatkan di tol berkenaan yang dibina demi keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya yang kini semakin bertambah di Plaza Tol Tangkak dan Pagoh.
 
Projek itu berjaya direalisasikan hasil usaha bekas Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman serta bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli Parlimen Ledang.
 
Mengenai perasmian tol itu, beliau berkata, majlis itu bermula pukul 9.30 pagi dan turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
 
Asojan berkata, selain majlis perasmian tersebut, kaunter pendaftaran untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibuka untuk mengemas kini dan menyemak semula nama para penerima.
 
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah antara pihak yang turut membuka kaunter dan premis masing-masing.
 
"Kita jangkakan kira-kira 3,000 pengunjung akan datang ke majlis perasmian Plaza Tol Bukit Gambir. Pihak penganjur akan sediakan perkhidmatan 15 buah van dan 10 bas untuk membawa orang ramai ke majlis perasmian nanti," katanya sambil memberitahu pengangkutan yang disediakan di hadapan Dewan Serbaguna Bukit Gambir dan pekarangan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang di Serom adalah percuma.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JANUARI 2014

Tiada ulasan: