LEDANG 6 Jan. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah memberikan
bantuan bencana sebanyak RM12,260 kepada tujuh keluarga di daerah ini
yang menjadi mangsa ribut pada 16 November lalu.
Sumbangan tersebut disampaikan dari satu rumah ke rumah oleh Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat kepada penerima di
sekitar Tanjung Agas, Kesang dan Sungai Mati.
Abd. Razak berkata, bantuan berkenaan adalah untuk mengurangkan beban
dan menampung kos baik pulih bahagian rumah mengikut keadaan serta
kerosakan yang dialami.
"Ada rumah yang dihempap pokok, syiling pecah dan rosak termasuk
bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian itu," katanya ditemui
selepas menyampaikan bantuan di rumah mangsa ribut, Che Mah Ithnin, di
Tanjung Agas di sini hari ini.
Che Mah, 63, yang tinggal bersama anaknya, Nor Aishah Shahari, 33,
dan seorang cucunya berusia sembilan tahun merupakan penerima bantuan
JKM yang paling tinggi iaitu RM4,000.
Menurut Abd. Razak, bantuan JKM berkenaan meskipun tidak menyamai
jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa, diharap dapat membantu
meringankan beban mereka.
Sementara itu, Nor Aishah ketika menceritakan kejadian pukul 7.15
malam itu berkata, mereka berdepan detik mencemaskan apabila rumahnya
dipukul ribut hingga mengakibatkan 40 keping syiling pecah manakala
bumbung diterbangkan angin kencang.
Akibat kejadian tersebut katanya, separuh rumahnya tidak mempunyai
bumbung dan terdedah kepada panas dan hujan sekali gus mengakibatkan
barang-barang dalam rumah terutama perabot mengalami kerosakan.
"Kami terpaksa menumpang di rumah saudara selama dua bulan kerana
tidak mampu untuk menampung kos baik pulih kerosakan itu sebelum
meminjam wang saudara sebanyak RM20,000 untuk membaiki syiling dan
bumbung.
"Kami terpaksa meminjam kerana pendapatan ibu hanya bergantung kepada
pencen arwah bapa yang sebelum ini berkhidmat dengan tentera laut,"
katanya.
Dia sekeluarga bersyukur kerana mereka semua terselamat dalam
kejadian itu selain merakamkan terima kasih kepada JKM dan Pusat Khidmat
ADUN Serom di atas bantuan tersebut.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan