PENGUNJUNG SETIA

16 Januari 2014

SMA LOGHATUL QURAN UNGGULI PERARAKAN DAERAH LEDANG

Hamim Samuri (dua dari kanan) bersama Ab. Han Ramin (dua dari kiri) mengetuai perarakan 70 kontinjen dalam sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak, kelmarin. 
 
LEDANG 15 Jan. - Sekolah Menengah Agama (SMA) Loghatul Quran, Kesang Tasek, dekat sini menggondol dua hadiah bagi pertandingan kategori sepanduk terbaik dan kontinjen terbaik dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ledang, hari ini.


Sekolah itu mengalahkan 16 pasukan lain dalam kontinjen sekolah dan institusi pendidikan tinggi yang turut disertai 64 kontinjen lain melalui perarakan sejauh dua kilometer dari Perhentian Bas dan Teksi Tangkak ke Dataran Ledang.


Sementara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang memenangi hadiah sepanduk terbaik kategori jabatan kerajaan manakala Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan pemenang bagi kategori badan berkanun.


Dalam pertandingan kontinjen terbaik perarakan, Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang muncul juara kategori jabatan kerajaan manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serom 1 memenangi kategori badan bukan kerajaan (NGO) dan kampung.


Perarakan itu disertai 80 kontinjen dan disertai lebih 4,000 pengunjung manakala perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan tazkirah disampaikan Pegawai Undang-Undang Syariah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Mejar Mohd. Nadzri Musman.


Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd. Razak Minhat; Pentadbir Tanah Daerah, Shafei Ahamad dan Kadi Ledang, Mohd. Zaini Mohd. Salleh.


Ab. Han dalam ucapannya berkata, umat Islam perlu memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan betul berasaskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan mereka terjerumus ke lembah kebinasaan.


Katanya, pada hari ini banyak kepincangan akhlak dipaparkan dalam berita semasa menunjukkan seolah-olah keadaan sudah kembali kebelakang sebagaimana zaman jahiliah.


"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, mereka perlu menapis budaya Barat menggunakan piawaian syariah Islam bukan menerima bulat-bulat. Melalui pengetahuan ilmu agama saja kita dapat membendung kepincangan dan kecelaruan serta menimbang sesuatu yang baik atau buruk," katanya.


Ab. Han berkata, asas akidah yang kukuh amat penting disokong kefahaman ilmu akhlak dan ibadat yang mantap untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 JANUARI 2014

Tiada ulasan: