PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2014

KEPUASAN PENGGUNA MESTI DIUTAMAKAN - TPM

LEDANG 25 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta syarikat-syarikat konsesi lebuh raya meningkatkan prestasi perkhidmatan sehingga tahap yang tinggi bagi memastikan kepuasan pelanggan.
 
Timbalan Perdana Menteri turut menggesa rakyat mengambil peluang daripada kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan berkenaan.
 
"Misalnya, dengan kewujudan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir ini, masyarakat setempat boleh mempromosikan keunikan atau menganjurkan acara-acara yang menarik minat orang datang ke sini, apatah lagi kita sekarang dalam Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mana ramai pelancong dijangka akan melawat negara kita," katanya.
 
Beliau berucap merasmikan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir di Lebuh Raya Utara Selatan bernilai RM108 juta di sini hari ini.
 
Persimpangan yang dibina sejak Ogos 2010 dan siap sepenuhnya 30 Disember lalu itu mengurangkan jarak perjalanan dari Lebuh Raya Utara Selatan ke pekan Bukit Gambir kepada lima kilometer berbanding 25 kilometer sebelum ini dengan masa perjalanan hanya 10 minit berbanding 30 minit sebelum ini.
 
Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim.
 
Timbalan Perdana Menteri yakin kedudukan persimpangan bertingkat yang strategik ini akan sedikit sebanyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan dijangka merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan perindustrian di daerah Muar dan Ledang.
 
Sementara itu, Fadillah berkata, pembukaan persimpangan bertingkat Bukit Gambir yang akan mula beroperasi esok, akan dapat menyuraikan kesesakan trafik di Plaza Tol Tangkak dan Pagoh terutamanya pada musim-musim perayaan dan cuti umum.
 
"Melalui persimpangan ini pengguna hanya perlu mengambil masa 10 minit dengan jarak perjalanan lima kilometer untuk ke pekan Bukit Gambir berbanding 30 minit dengan jarak 25 kilometer ke Plaza Tol Tangkak atau Pagoh.
 
"Persimpangan ini mempunyai susur keluar masuk, jambatan dan lapan lorong selain kemudahan asas seperti surau, tandas dan tempat letak kereta," katanya.
 
Fadillah berkata, persimpangan itu mencipta satu kejayaan baharu kerana kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebanyak RM108 juta manakala urusan pengambilan tanah dibiayai kerajaan iaitu sebanyak RM7 juta.
 
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 26 JANUARI 2014

Tiada ulasan: