SEORANG pekerja menunjukkan senjata
tajam yang digunakan oleh penyamun di sebuah pusat timbang kelapa sawit
di Serom 6 dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam. - Utusan/ISHAK
RAHMAD
LEDANG 5 Jan. - Seorang pemilik sebuah pusat timbang kelapa sawit
kerugian lebih RM80,000 apabila premis itu dipecah masuk oleh sekumpulan
lelaki penyamun yang menyamar sebagai 'polis' di Serom 6, Sungai Mati,
dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, kumpulan terbabit memecah masuk
bahagian pejabat dan melarikan wang tunai RM72,000, seutas jam tangan
berjenama, dua kamera litar tertutup (CCTV) dan 10 telefon bimbit milik
pekerja asing di pusat timbang itu.
Pemiliknya, Lim Seng Liu berkata, wang tunai RM70,000 itu
adalah bayaran bulanan untuk kira-kira 200 pekebun sawit yang menjual
hasilnya di situ dan biasanya dibayar pada tarikh 5 hari bulan setiap
bulan dan selebihnya gaji pekerjanya.
"Mereka mengambil masa kira-kira 20 minit menggeledah tiga tempat
simpanan wang itu. Mereka menggunakan segala peralatan yang ada di pusat
timbang ini seperti kuku kambing dan batang besi untuk memecahkan
mangga serta mengumpil masuk.
"Biasanya saya membayar hasil jualan pekebun pada hari yang sama wang
dikeluarkan. Namun disebabkan tarikh 5 hari bulan bagi bulan ini jatuh
pada Ahad dan bank tidak beroperasi hari ini, wang diambil Jumaat lalu
dan disimpan di pejabat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Seng Liu berkata, kumpulan penjenayah berkenaan tidak masuk melalui
pintu hadapan yang ditutup pukul 8 malam setiap hari, tetapi menggunakan
pintu kedua di sebelah kanan dan agak menghairankan kerana tiga ekor
anjingnya tidak menyalak semasa kejadian.
Beliau hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 4.30 pagi
selepas dimaklumkan oleh salah seorang daripada tujuh pekerjanya yang
berasal dari Lombok, Indonesia sebelum membuat laporan di Balai Polis
Sungai Mati, sejam berikutnya.
Seorang pekerjanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rudy, 33,
berkata, semasa kejadian tiga daripada mereka tidur di rumah pekerja,
tiga di kabin yang diubah suai menjadi tempat tidur serta seorang lagi
di dalam lori.
Katanya, sebaik sahaja tersedar, lehernya telah diacukan parang oleh penjenayah yang mengaku sebagai 'polis'.
"Mereka mengejutkan kami seorang demi seorang sebelum dikumpulkan di
dalam sebuah bilik serta tangan diikat menggunakan kain pelikat, tali
dan wayar.
"Kesemua suspek bersenjatakan parang, sabit dan hanya seorang
bertopeng, manakala semasa kejadian mereka menutup lampu dan hanya
menggunakan lampu suluh.
"Kumpulan penjenayah itu menggeledah pejabat dan setelah selesai,
seorang daripadanya menelefon rakan mereka serta meminta sebuah
kenderaan datang membawa mereka pergi," katanya.
Rudy percaya, kumpulan suspek tersebut adalah warga tempatan
berdasarkan loghat digunakan dan mereka bersyukur kerana tidak
diapa-apakan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan
Mohd. Salleh Abd. Razak ketika menghubungi mengesahkan kejadian
tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang
boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit
kesalahan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JANUARI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JANUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan